14 FEBRUARI
Salam 2 All.
Hari Ini dalam sejarah mengabadikan dua cerita yang berlainan yang harus kita ingati. Sila-silalah baca.....
Lambang Lembaga Pertubuhan Peladang
(Gambar Hiasan)
LEMBAGA PERTUBUHAN PELADANG DITUBUHKAN |
Tarikh Peristiwa : 14.02.1973 Pada hari ini dalam tahun 1973, Lembaga Pertubuhan Peladang telah ditubuhkan dan pengumumannya telah dibuat oleh Perdana Menteri, YAB Tun Abdul Razak bin Hussein. Ianya bertujuan untuk mengambil alih tanggungjawab semua Persatuan Peladang dan Syarikat-syarikat kerjasama asas tani di negara ini. Lembaga ini juga berkuasa mendaftar, mengawal dan menyelia pertubuhan-pertubuhan peladang. Jelasnya, Pertubuhan Peladang ditubuhkan bagi mengadakan satu oraganisasi yang akan bertanggungjawab bagi menggalakkan usaha-usaha pertanian, memperbaiki kedudukan ekonomi dan sosial penduduk luar bandar. Ini boleh dicapai dari segi pengeluaran hasil-hasil pertanian, pasaran dan lain-lain. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tengku Ahmad Rithaudeen telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga dan Timbalan Pengerusinya ialah Setiausaha Parlimen Kementerian Pertanian Datuk Haji Mustafa Jabar. Manakala Setiausaha Bahagian Kabinet dan Perlembagaan, Jabatan Perdana Menteri iaitu Encik Ahmad Sarji Abdul Hamid, sebagai Ketua Pengarah. Dengan penubuhan Lembaga ini, ekonomi penduduk luar bandar khususnya orang-orang Melayu dapat diperbaiki. Usaha-usaha seperti ini harus diteruskan sejajar dengan perkembangan negara sejak mencapai kemerdekaan. |
Pandangan Gunung Everest
PELANCARAN PROJEK MENDAKI GUNUNG EVEREST |
PELANCARAN PROJEK MENDAKI GUNUNG EVEREST Tarikh Peristiwa : 14-02-1988 Pada hari ini dalam tahun 1988, satu projek mendaki Gunung Everest yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan telah dilancarkan Majlis pelancaran program ini telah disempurnakan oleh Datuk Sri Najib Tun Abdul Razak, Menteri Belia dan Sukan. Projek mendaki gunung Everest ini akan dikendalikan oleh Persatuan Mendaki Malaysia dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan. Berucap semasa merasmikan projek ini, Datuk Sri Najib berkata jika mereka masih mempunyai jiwa dan cita-cita yang kecil ia tidak dapat membantu negara ini mencapai tahap kejayaan yang dibanggakan. Rakyat seharusnya berjuang ke arah mencapai kecemerlangan di semua lapangan termasuk di bidang pentadbiran, siasah, pembangunan ekonomi dan kemanusiaan. Hasil daripada usaha-usaha yang gigih dan tidak pernah mengenal erti jemu puncak Gunung Everest berjaya ditawan oleh rakyat Malaysia pada tahun 1997 sebagaimana yang disasarkan dalam perancangan awal sebelum ini. SELAMAT MEMBACA - IBM SUMBER : ARKIB NEGARA |