Friday, February 11, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

11 FEBRUARI

Salam 2 All.
Mari kita baca apa yang berlaku pada hari ini. Sejarah negara harus kita ketahui agar tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung.

TAMAN TEMPLER DIWARTAKAN OLEH KERAJAAN NEGERI SELANGOR
Tarikh Peristiwa : 11-02-1955

Pada hari ini dalam tahun 1955, Taman Templer, yang telah dibuka pada bulan Mei 1954 oleh Sir Gerald Templer telah diisytihar oleh Kerajaan Negeri Selangor terletak di bawah Warta Kerajaan no. 104, kawalan dan pemeliharaan alam semulajadi. Sehubungan dengan itu satu jawatankuasa yang terdiri daripada pegawa-pegawai Jabatan Pertanian dan Perhutanan telah ditubuhkan. Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Dr. Ismail bin Dato' Abdul Rahman, Timbalan Perdana Menteri telah dipertanggungjawabkan untuk memelihara dan memajukan kawasan taman tersebut. Pada bulan Oktober 1955, sebuah badan sukarela iaitu "Persatuan Sahabat Taman Templer" (Friends of Templer Park) telah mengambil alih peranan mengurus dan memelihara taman tersebut dan pada tahun 1957 ianya telah diletak dibawah tanggungjawab Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar. Sementara itu, Persatuan Sahabat Taman Templer berperanan sebagai agen pada kementerian ini untuk membangunkan Taman tersebut. Usaha mewartakan taman ini oleh kerajaan Selangor telah menunjukkan keperihatinan negara terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam semulajadi negara telah bermula sejak sebelum kemerdekaan lagi. Kini setelah 50 tahun, negara mencapai kemerdekaan usaha-usaha mengekalkan alam sekitar ini diteruskan demi kesejahteraan sejagat.


Dan juga pada hari yang sama :

MAJLIS AGAMA ISLAM KELANTAN BERSETUJU MENERIMA BANTUAN KEMENTERIAN PELAJARAN
MAJLIS AGAMA ISLAM KELANTAN BERSETUJU MENERIMA BANTUAN KEMENTERIAN PELAJARAN Tarikh Peristiwa : 11-02-1961
Pada hari ini dalam tahun 1961, Majlis Agama Islam Kelantan bersetuju menerima syarat-syarat Kementerian Pelajaran untuk mendapatkan bantuan bagi sekolah-sekolah kepunyaan Majlis itu.Antara syarat-syarat yang ditentukan oleh Kementerian Pelajaran ialah:-
  • murid-murid dan guru-guru dari sekolah-sekolah tersebut tidak dibenarkan mengambil bahagian cergas dalam mana-mana parti politik.
  • sekolah-sekolah tidak dibenarkan digunakan untuk perjumpaan parti-parti politik.
  • bendera dari satu-satu parti tidak dibenarkan dikibarkan di bangunan atau kawasan sekolah.
  • sukatan pelajaran yang akan diajar hendaklah mengikut sukatan pelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran.
Di samping itu, Kementerian Pelajaran juga meminta pihak yang bertanggungjawab terhadap sekolah-sekolah tersebut mengadakan jadual kedatangan murid-murid, jadual waktu pelajaran yang sempurna dan hendaklah menyampaikan penyata bulanan sekolah tidak lewat daripada 10 hari tiap-tiap akhir bulan masihi. Dalam penyata tersebut hendaklah dinyatakan
  • bilangan murid-murid yang ada pada awal dan akhir bulan.
  • bilangan murid-murid yang ada pada tiap-tiap darjah
  • bilangan murid yang masuk dan keluar.
  • jenis perbelanjaan yang telah dibayar dengan wang dari bantuan Kementerian Pelajaran.
Kementerian Pelajaran telah menetapkan bahawa pihak sekolah yang memberi gaji dengan peraturan tangga gaji hendaklah memperuntukkan sebanyak 35% dari bantuan wang yang diberi dan 70% hendaklah dibahagikan kepada guru-guru tidak berperaturan tangga gaji dengan sama rata. Selebihnya hendaklah digunakan bagi kepentingan dan kemajuan sekolah. Sesungguhnya dengan bantuan yang diberikan telah dapat memajukan sekolah-sekolah agama di negeri Kelantan.

* Maaf, hari ini lambat sikit mempaparkan 'Hari Ini Dalam Sejarah'. Selamat membaca - Ikhlas dari : IBM

Sumber : Arkib Negara.

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...