ASSALAMU MUALAIKUM W.B.T SALAM AIDILFITRI SALAM UKHWAH DAN SALAM SEJAHTERA KEPADA SEMUA
02 SEPTEMBER
~ HARI INI DALAM SEJARAH ~
PERTABALAN DYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG YANG PERTAMA TARIKH PERISTIWA : 02.09.1957
|
Pada hari ini dalam tahun 1957, DYMM Seri Paduka Tuanku Sir Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dengan rasminya telah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Persekutuan Tanah Melayu merdeka yang pertama. Istiadat pertabalan yang gilang-gemilang ini telah dilangsungkan di Balai Rong Seri, Istana Negara dan dihadiri oleh lebih daripada 500 orang jemputan termasuk Raja-Raja Melayu, Sultan Brunei, Gabenor Melaka dan Pulau Pinang, Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet, tetamu istimewa dari dalam dan luar negeri serta Duke of Gloucester yang mewakili Baginda Queen. Istiadat Pertabalan telah dimulakan dengan keberangkatan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dengan diiringi oleh Datuk Paduka Maharajalela Tuan Haji Mustapha Albakri, juruiring-juruiring dan panglima-panglima yang membawa alat-alat kebesaran serta iringan bunyian oleh gendang perang, paluan nobat nafiri dan tembakan meriam sebanyak 21 das. Surat perisytiharan pertabalan Yang di-Pertuan Agong telah dibacakan oleh Tuan Haji Mustapha Albakri, Datuk Paduka Maharajalela yang juga merupakan Penyimpan Mohor Raja-Raja Melayu Persekutuan Tanah Melayu.
|
~ SELAMAT MEMBACA KEPADA SEMUA. IKHLAS DARI SAYA : IBM ~
[SUMBER : ARKIB NEGARA]