DARI Perlis hingga ke Sabah, topik yang paling hangat diperbincangkan di setiap penjuru kawasan ialah bilakah tarikh pilihanraya umum ke 13. Artikel ini bukanlah ingin menceritakan bila tarikh PRU 13, sebaliknya kesediaan rakyat untuk menentukan siapa yang bakal memerintah negara.
Apa yang membimbangkan penulis, seperti yang telah disentuh sedikit pada artikel sebelumnya, ialah sikap Pakatan Pembangkang yang telah mula berkempen sejak 2008 lagi. Sungguhpun telah memerintah beberapa negeri selepas PRU 2008, namun gaya pembangkang masih wujud biarpun berstatus kerajaan negeri. Itu menceritakan bagaimana mereka tidak bersedia mentadbir, sehinggakan wujud pelbagai skandal dan isu, seperti yang dipamerkan di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.
Gaya berkempen yang tidak kunjung sudah ini sebenarnya telah membuatkan segelintir rakyat merasakan muak dengan politik. Siang malam berpolitik, 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan 365 hari setahun cukup membuatkan bilangan itu semakin bertambah. Itu belum diambil kira dari golongan yang tidak sanggup lagi melihat perpecahan ummah akibat dari politik kafir-mengkafir yang akhirnya mekar sebagai permusuhan sejati diantara 2 parti utama orang Melayu, iaitu UMNO dan PAS.
Kekeliruan yang terhasil dari tatacara matlamat menghalalkan cara cukup menghibakan. PAS pula dilihat menggunakan Islam untuk tujuan politik, walaupun ia seharusnya kontra dengan kenyataan ini, iaitu menggunakan politik untuk memartabatkan Islam. Cukuplah agenda kafir mengkafir sejak Amanat Hadi Awang. Orang Melayu dan Islam khususnya, terpalit noda politik yang akhirnya membuatkan ramai yang jauh dari politik.
Buktinya, ramai anak muda, terutamanya Melayu menjauhkan diri dari dunia politik. Bukan sekadar persepsi, hakikat jumlah orang Melayu yang masih belum mendaftar sebagai pemilih adalah bukti yang nyata bahawa sikap tidak ambil tahu, muak, dan benci kepada politik wujud di kalangan mereka.
Contoh Undi Rosak
Tidak cukup dengan itu, kebimbangan ini disokong pula dengan fakta bahawa, terdapat 20,669 undi rosak di Selangor, sesuatu yang penulis anggap sebagai protes, walaupun ia bersifat untuk tidak memihak kepada mana-mana pihak. Sungguhpun angka ini tidak mewakili semua, tetapi penulis yakin, sebahagian besarnya adalah lahir dari kebencian terhadap politik, yang kuat sentimennya sejurus sebelum memangkah kertas undi.
Itu di Selangor. Angka yang membimbangkan juga wujud pada 2008 di negeri-negeri seperti Johor (26,216 undi rosak), Perak (20,302 undi rosak) dan Kedah (15,000 undi rosak).
Seringkali terdengar kata-kata “menyerah” apabila memilih untuk memangkah kedua-dua parti yang bertanding, sebagai langkah penyelesaian terhadap “beban” yang dipikul, hanya untuk memilih siapa yang harus memerintah – menentukan hala tuju negara.
Tentunya survival Islam dan Melayu menjadi tandatanya selepas PRU 13 nanti, kerana terdapat 600 ribu mereka yang layak mengundi di Selangor tetapi masih belum mendaftar sebagai pemilih. Dan orang Melayu tergolong dalam senarai teratas di kalangan 600 ribu tersebut.
Apakah sikap muak kepada politik menjadi punca butanya kuasa memilih yang ada di tangan mereka?. Jom sama-sama kita fikirkan demi untuk masa depan kita, anak-anak dan negara yang kita cintai. ~ IBM
Terima kasih Selangor Daily.com
DAN TERIMA KASIH JUGA KERANA SUDI MEMBACA