Tuesday, May 6, 2014

SENIMAN AZIZ SATTAR MENINGGAL DUNIA. AL-FATIHAH!

SELASA, 6 MAY 2014
Seniman Datuk Abdul Aziz Sattar, 89, meninggal dunia di Pusat Perubatan KPJ Kajang dekat sini kira-kira pukul 2 pagi Selasa. Berita kematian Allahyarham itu disahkan oleh cucunya, Abu Ubaidah A. Ishak menerusi Twitter miliknya kira-kira pukul 2.15 pagi. “Atok saya, Datuk Aziz Sattar telah menghembuskan nafas terakhir jam 2 pagi tadi (Selasa). Sedekahkan Al-Fatihah,” katanya dalam Twitter miliknya itu. Allahyarham meninggal dunia akibat serangan jantung. Abu Ubaidah ketika dihubungi pula berkata, Aziz tiba-tiba mengalami sesak nafas kira-kira pukul 1.30 pagi sebelum tidak sedarkan diri selepas itu.

Jelas Abu Ubaidah lagi, dia berada di hospital berkenaan ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir dan redha dengan pemergian datuk kesayangannya itu. "Sebelum ini keadaannya stabil kerana doktor mengatakan ia hanya serangan jantung biasa namun Allah lebih menyayanginya dan kami sekeluarga redh dengan pemergiannya, katanya. Dalam pada itu, Abu Ubaidah berkata, jenazah telah dibawa pulang ke kediaman Allahyarham di Bandar Tun Hussien Onn dekat sini sebelum urusan memandikan jenazah dilakukan pada pukul 11 pagi. 

Jenazah dijangka akan dikebumikan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam Cheras. Terdahulu pada malam Ahad lalu Allahyarham dikejarkan ke pusat perubatan berkenaan akibat serangan jantung tetapi keadaannya dilaporkan stabil dan ditempatkan di Unit Rawatan Korinari (CCU). Allahyarham yang dilahirkan di Surabaya, Indonesia merupakan rakan seangkatan seniman Tan Sri P.Ramlee dan popular menerusi filem Bujang Lapok. Beliau juga pernah menyertai kumpulan pancaragam Pancasitara  yang dianggotai oleh  P.Ramlee, Normadiah, Aziz Jaafar, Ahmad C dan Kassim Masdor  pada awal tahun 1950an.

Marilah kita sama-sama mendoakan agar rohnya di rahmati oleh Allah SWT dan di tempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang beriman. Aminn. Wasallam ~ IBM
"TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA"
Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...