Saturday, May 17, 2014

SYABAS IMIGRESEN SABAH! SINDIKET DOKUMEN PALSU DI TUMPASKAN

SABTU, 17 MAY 2014
Sekalung tahniah diucapkan kepada Jabatan Imigresen Sabah kerana dapat menumpaskan sindiket yang membawa masuk dan keluar warga asing dengan menggunakan dokumen pengenalan diri palsu. Pengarahnya Noor Alam Khan Abdul Wahid Khan berkata pihaknya menahan lima individu dalam tiga kes berasingan yang menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebagai transit untuk membawa warga asing ke negara ketiga."Dalam kes terbaru, dua individu warga Turki yang berhasrat ke Kuala Lumpur ditahan di Terminal 1, KKIA Rabu lepas kerana disyaki memiliki pasport Turki palsu," katanya pada dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini. Beliau berkata kes masih dalam siasatan di bawah Akta Pasport 1966 dan menunggu pengesahan ketulenan pasport dari Kedutaan Besar Turki di Kuala Lumpur. 

Dalam kes berasingan, seorang warga Pakistan yang berhasrat untuk ke Perth, Australia, ditahan oleh pegawai imigresen juga di Terminal 1, KKIA pada 6 April lalu kerana disyaki memiliki pasport Malaysia palsu dengan menggunakan nama Muhammad Shahrul Bin Fauzi. Noor Alam Khan berkata hasil siasatan mendapati nombor siri pasport itu dilaporkan hilang di Kajang, Selangor pada 6 Jun tahun atas nama Halleyza Binti Ibrahim. "Warga Pakistan itu mengaku bersalah dan membayar denda keseluruhan berjumlah RM17,000 atas dua kesalahan iaitu menyamar sebagai individu lain serta tinggal di negara ini melebihi tempoh, di bawah Akta Pasport 1966 dan Akta Imigresen 1959/63 dan kini ditahan di Pusat Tahanan Sementara Imigresen di Papar bagi tujuan pengusiran ke negara asal," katanya. Sementara itu, beliau berkata dua individu warga Turki yang dalam transit ke Manila, Filipina, ditahan di Terminal 2, KKIA pada 19 April lalu kerana mengemukakan pasport Turki dengan cop palsu.

Kedua-dua suspek mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan kini ditahan reman sementara menunggu kes disebut semula pada 21 Mei ini, " katanya. Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya kini meningkatkan tahap kesedaran pegawai bertugas di pintu kawalan terutama pintu kawalan udara bagi menyekat kemasukan dan menghalang keluar individu yang disyak mengancam keselamatan negara. Menurut Noor Alam Khan, jabatan itu juga kini meningkatkan tahap pemantauan untuk mengawasi lebih terperinci pola kemasukan warga asing terutama dari negara Timur Tengah dan Asia Selatan. Beliau berkata siasatan juga akan diteruskan melalui perkongsian maklumat dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan sindiket pemalsuan dokumen yang bergerak aktif dan dipercayai didalangi oleh sindiket antarabangsa. Apapun tahniah kepada pihak Imigresen di atas kejayaan tersebut dan teruskan membenteras sindiket haram ini. Wasallam ~ IBM
"TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA"
Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...