Adakah terdapat dalil dari Al-Quran atau pun Hadis Rasulullah SAW berkenaan mengauli isteri pada malam Jumaat?
وعليكم السلام و رحمة الله وبركاتهم
{ بسم الله الرحمن الرحيم }
(( رب إشرح لي صدري و يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي ))
Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.
Terima Kasih di atas soalan saudara tersebut . Sepanjang pengetahuan kami – yang sedikit ini dan yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala – tidak ada sebarang keterangan yang kuat lagi sahih ( daripada Al-Quran Al-Karim , mahupun As-Sunnah ) yang menetapkan tatacara menggauli isteri di hari-hari tertentu seperti malam Jumaat itu . Ini disebabkan setiap masa dan ketika boleh dilakukan padanya majlis perkahwinan , dan begitulah juga dengan menggauli isteri ( berjimak dengannya ) , kecualilah pada masa-masa yang telah maklum akan larangannya seperti di dalam keadaan berihram , di dalam keadaan haidh ( wanita tidak suci ) dan sebagainya .
Kalaulah disebabkan Baginda Rasulullah s.a.w sendiri mengahwini / “ menggauli “ seseorang isterinya daripada isteri-isterinya pada hari-hari tertentu menunjukkan sunat hukumnya , maka sudah tentu semua waktu dan ketika yang pernah Baginda Rasulullah s.a.w berkahwin / berjimak dihukum sunat juga , kerana Baginda Rasulullah s.a.w mempunyai isteri yang ramai . Sudah tentulah hukum dan kiasan seperti ini tidak dapat diterima .
Oleh itu kenapa pula timbul kepercayaan sesetengah umat Islam bahawa sunat dilakukan perkahwinan @ “ pergaulan suami-isteri “ di malam Jumaat ? .
SEBAB-SEBABNYA :
1 – Disebabkan malam tersebut merupakan malam bagi hari Jumaat . Dan ia pula dianggap sebagai penghulu segala hari ( sebagai mana di dalam hadis-hadis sahih ) . Selain itu , Hari Jumaat juga sebagai mana di dalam hadis-hadis sahih adalah salah-satu daripada hari-hari kebesaran dan perayaan umat Islam .
2 – Disebabkan sunat melakukan Mandi Hari Jumaat . Oleh itu , sebahagian ulama’ kita telah menyatakan bahawa jika kita “ tidur @ mencampuri @ berjimak “ dengan isteri kita pada malam tersebut lalu kita tidur , maka pada paginya – sebelum solat Subuh – kita pun bangun untuk menunaikan mandi junub @ janabah @ wajib . Dalam masa yang sama , kita pun berniat untuk mandi sunat hari Jumaat . Daripada sinilah sebahagian ulama’ mengatakan sunat berjimak dengan isteri di malam Jumaat .
3 – Biasanya kitab-kitab klasik yang menerangkan kelebihan berjimak dengan isteri di Malam Jumaat ditulis di masa sesebuah negara umat Islam itu mendaulatkan hukum-hukum Islam sebagai Perundangan Negara . Oleh itu sudah pasti juga mereka menjadikan Hari Jumaat itu sebagai HARI CUTI MINGGUAN ( sebagai mana yang masih berlaku di beberapa negara / I seperti Arab Saudi , Mesir , Kelantan dan Terengganu).
Oleh kerana pada Hari Jumaat mereka bercuti dan berehat , maka sudah tentulah sangat-sangat sesuai dilakukan upacara akad-nikah @ berjimak dengan isteri pada malam sebelumnya ( Malam Jumaat ) . Sayangnya kelebihan bercuti pada Hari Jumaat ini telah dilenyapkan sendiri oleh mereka yang “ bermati-matian “ mewar-warkan bahawa merekalah pemimpin parti Islam ketiga terbesar di dunia . Dan yang sayang seribu kali sayang pula , adanya golongan ulama’ upahan yang bermati-matian menentang Hari Jumaat dijadikan “ Hari Cuti Mingguan “ dengan mengatakan bahawa perkara itu tiada dalilnya daripada sumber-sumber perundangan Islam . Tapi yang amat malangnya pula , golongan ini tidak pula mahu menunjukkan dalil-dalil yang sahih lagi kuat untuk mereka menjadikan Hari Ahad sebagai “ Hari Cuti Umum @ Mingguan “ !!! .
Namun bagi kebanyakan kita yang tidak tinggal di Kelantan ataupun di Terengganu dan tidak pula bercuti pada Hari Jumaat , maka tidaklah menjadi halangan untuk melakukan sesebuah majlis pernikahan ( dan begitulah juga untuk “ bergaul beberapa pusingan “ dengan isteri ) pada Malam Ahad , memandangkan keesokan harinya kita mempunyai masa rehat yang lebih ( cuti ) berbanding dengan hari-hari selainnya .
KESIMPULANNYA :
Tiada hari khusus dan cara yang khusus untuk kita melakukan jimak ataupun majlis perkahwinan melainkan apa yang telah dimaklumi daripada sumber-sumber perundangan Islam yang sahih . Adapun kalam-kalam yang mengatakan “ sunat dilakukan pada Malam Jumaat “ hanyalah berdasarkan keluasan masa rehat dan kelebihan yang ada pada hari keesokannya ( Jumaat ) .
Sekian . Wallahu A’alam Bis Sowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad .
RUJUKAN
1 – YASALUNAKA FID DIN WAL HAYAH ( Jilid II , ms 160 )
Oleh : Al-‘Allamah Dr. Ahmad Asy-Syarbasi – Pensyarah Univeristi Al-Azhar , Mesir .
Cetakan : Darul Jil , Beirut .
و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى
والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته