PERTH : Pasukan pencari Australia dan New Zealand menemui objek yang mungkin ada kaitan dengan pesawat MH370 yang hilang, buat kali pertama penemuan disahkan oleh dua pasukan berlainan di Lautan Hindi yang dipercayai serpihan daripada pesawat, lapor The Global Times. Laporan itu berkata, lima kapal terbang menemui pelbagai objek daripada pelbagai warna semasa pencarian pesawat yang hilang itu. Kira-kira 256,000 kilometer kawasan dicari dan gambar objek itu sedang dinilai di penghujung pencarian hari ini. Penemuan ini memberi harapan kerana pasukan pencari sedang mengejar waktu untuk menemui kotak hitam pesawat MH370 sebelum bateri dalam data pesawat itu mati. Kapal tentera Australia HMAS Ocean Shield, yang dilengkapkan pencari kotak hitam tentera laut Amerika, menyertai pencarian hari ini, menjelajah kawasan seluas 250 km bersama kapal kajian hidrografik British GMS Echo.
Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (Amsa) mengumumkan kawasan pencarian baru hari ini berdasarkan "penemuan paling berwibawa" sehingga kini yang meliputi kawasan seluas 1,100 kilometer ke timurlaut kawasan selatan Lautan Hindi yang telah menjadi tumpuan sejak minggu lalu. "Kawasan ini mempunyai kemungkinan paling tinggi sebagai laluan pesawat memasuki air, ia adalah kawasan pencarian bawah air sekarang," kata Ketua Marshal Udara (B) Angus Houston, ketua koordinasi agensi Autralia, memberitahu Reuters hari ini. "Atas nasihat terbaik, beacon pencari yang akan bertahan kira-kira sebulan sebelum ia berhenti menghantar transmisi, jadi kita kini cukup dekat dengan masa apabila ia mungkin luput." Isnin ini genaplah 30 hari pesawat MH370 hilang komunikasi dan hilang dari radar awam selepas kurang daripada satu jam berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac.
Boeing 777 itu dikesan pada radar tentera di kawasan lain Malaysia dan analisis berikutnya membuatkan penyiasat membuat kesimpulan pesawat itu terhempas jauh di barat pantai Australia. Sonar boleh membantu pencarian kotak hitam yang mengandungi rakaman suara dan data pesawat yang merupakan kunci untuk mengetahui apa yang berlaku kepada penerbangan itu. Kotak hitam dilengkapi dengan beacon pencari yang menghantar "ping" apabila terkena air, tetapi hanya mempunyai hayat bateri kira-kira 30 hari sahaja. Menurut Reuters, para pakar memberi amaran bahawa Pencari Ping kurang berguna sehinggalah penyiasat mendapatkan idea yang lebih baik di mana kapal terbang itu masuk ke dalam air, kerana keterbatasan jangkauan dan kelajuan di mana ia mesti ditarik di belakang kapal yang bermakna ia tidak boleh meliputi kawasan laut yang luas dengan cepat.
P/S ~ Harap-harap penemuan kali ini dapat merungkai misteri kehilangan MH370. Dah letih kita baca dan dengar cerita-cerita yang tak jelas, jumpa itu, jumpa ini, tapi jawapannya masih tidak terjawab. Wasallam ~ IBM
"TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA"