Monday, December 6, 2010

HARI INI DALAM SEJARAH

6 DESEMBER

KETUA NEGARA ASING YANG PERTAMA MELAWAT PERSEKUTUAN TANAH MELAYU
Tarikh Peristiwa pada 06-12-1958
Pada hari ini dalam tahun 1958, Presiden India, Dr. Rajendra Prasad yang merupakan Ketua Negara Asing telah melawat persekutuan tanah Melayu. Ketibaan Presiden India untuk lawatan selama tiga hari itu telah diberi sambutan meriah oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, DYMM Sultan Selangor, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman dan pembesar-pembesar yang lain. Dr. Rajendra Prasad, adalah seorang ahli politik, pendidik dan pembentuk masyarakat India sebelum beliau dilantik menjadi Presiden negara itu. Sebagai pencinta keamanan, beliau datang dengan huluran tangan persaudaraan, kasih sayang dan persahabatan ikhias, mengeratkan lagi hubungan yang sedia terjalin antara kedua-dua negara, India dan Tanah Melayu. Beberapa aturcara telah disusun sepanjang lawatan beliau. Antaranya termasuk melihat lombong-lombong bijih dan ladang-ladang getah di samping melihat sendiri kerja-kerja memproses hasil utama negara. Sesungguhnya lawatan Presiden India ini telah memberi satu penghormatan kepada Tanah Melayu dan memperakukan kedudukan negara ini sebagai negara yang merdeka dan berdaulat.


TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA MENINGGAL DUNIA
Tarikh Peristiwa pada 06-12-1990

Pada hari ini dalam tahun 1990, Bapa Kemerdekaan Negara Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah kembali ke rahmatullah pada usia 87 tahun di Hospital Besar Kuala Lumpur pada jam 10.25 malam. Jenazah Almarhum telah di bawa ke Bangunan Parlimen daripada tempat kediamannya bagi membolehkan orang ramai memberikan penghormatan terakhir. Satu upacara penghormatan terakhir juga telah diadakan di Stesen Tentera Udara Diraja Malaysia oleh Pasukan Polis Diraja Malaysia, sejurus sebelum Jenazah Almarhum diterbangkan ke Alor Setar, Kedah untuk disemadikan di Makam Diraja Langgar, disisi makam kekandanya, Tunku Yusof, Tunku Mohammed Dewa, Tunku Kassim dan Sultan Badlishah. Tunku Abdul Rahman merupakan putera ketujuh kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan telah diputerakan oleh bondanya, Manjalara pada 8 Februarui 1903. Penglibatan Tunku dalam politik UMNO bermula sejak tahun 1949 setelah menjadi Pengerusi UMNO Kedah. Atas desakan Tun Abdul Razak, beliau menawarkan dirinya menjadi Yang di-Pertuan Agong UMNO pada 1951 bagi menggantikan Dato' Onn Jaafar yang meletakan jawatan dengan menewaskan dua pencabar lain dalam pemilihan itu. Sesungguhnya segala jasa bakti dan sumbangan Almarhum Tunku terhadap negara akan tetap terus dikenang dan dijulang selamanya.

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...