Tuesday, December 7, 2010

HARI INI DALAM SEJARAH

7 DESEMBER
PENYUSUNAN SEMULA BIRO SIASATAN NEGARA (BSN)

Tarikh Peristiwa pada 07-12-1981
Pada hari ini dalam tahun 1981, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah membuat kenyataan di Dewan Rakyat, bahawa Biro Siasatan Negara (BSN) perlu disusun semula bagi membanteras kegiatan rasuah dengan lebih berkesan. Penukaran nama BSN kepada Badan Pencegah Rasuah Negara (BPR) perlu dilakukan memandangkan BSN terpaksa memberikan kerjasamanya dengan Jabatan Kerajaan lain. Walau bagaimanapun, Perdana Menteri telah menyatakan bahawa nama BSN perlu ditukar untuk membolehkannya memusatkan perhatian semata-mata untuk mencegah rasuah. Sejak BSN ditubuhkan pada 1973 hingga Ogos 1981, ia telah menerima dan menyiasat sebanyak 2600 aduan mengenai rasuah yang mana 1228 daripadanya telah didakwa di mahkamah. Datuk Seri Dr. Mahathir juga menegaskan bahawa mereka yang terlibat akan disiasat, termasuk pegawai tinggi kerajaan, wakil-wakil rakyat, orang besar atau golongan pertengahan mahupun kakitangan BSN sendiri. Sesungguhnya, penyusunan semula BSN diharap dapat membanteras gejala rasuah di samping mengukuhkan lagi kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kewibawaan dan kemantapannya.


PEMBUKAAN RASMI BANGUNAN PERSATUAN BOLA SEPAK PERSEKUTUAN

Tarikh Peristiwa pada 07-12-1961

Pada hari ini dalam tahun 1961, Bangunan Persatuan Bola Sepak Persekutuan Tanah Melayu telah dibuka dengan rasminya oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra. Pembinaan bangunan setinggi tujuh tingkat ini yang terletak di Jalan Birch, Kuala Lumpur dengan kos sebanyak $350,000 telah dimulakan pembinaannya pada tahun 1960 merupakan hasil inisiatif Tunku Abdul Rahman selaku Persiden Persatuan Bola Sepak Persekutuan. Ketika Tunku mula menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Persekutuan dalam tahun 1951, beliau telah telah berusaha memperkenal dan memperluaskan sukan ini ke seluruh negara dengan mengadakan pelbagai pertandingan bagi menggalakkan penyertaan orang ramai dalam permainan bola sepak. Hasil daripada pertandingan-pertandingan yang telah diadakan beliau berjaya mengumpul sejumlah dana daripada wang penjualan tiket bagi membiayai pembinaan sebuah bangunan bagi Persatuan Bola Sepak Persekutuan. Sesungguhnya dengan terdirinya bangunan ini, ianya telah memudahkan urusan pentadbiran, penyelenggaraan dan mengawal permainan bola sepak di peringkat pusat.

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...