UMNO Kelantan Adakan Simulasi Pilihanraya September ini.
[KOTA BARU, 7 Ogos – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata UMNO Kelantan akan mengadakan simulasi pilihan rayanya pada September ini.
Beliau berkata parti itu sedang membincangkan tarikh yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya ‘olok-olok’ tersebut, yang merupakan persediaan UMNO untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.
“Kita sedang atur simulasi pilihan raya untuk Kelantan yang bertujuan untuk menguatkan lagi jentera kita, mendapatkan input semasa dan mengenal pasti kelemahan jentera yang perlu diperbaiki,” katanya selepas Majlis Muzakarah Persiapan Menghadapi PRU-13: Cabaran dan Harapan di sini.
Simulasi pilihan raya itu adalah susulan daripada arahan UMNO pusat selepas Majlis Tertinggi parti pada 27 Mei memutuskan langkah tersebut perlu sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum kelak.
Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata buat masa ini pergerakan ketiga-tiga sayap parti Barisan Nasional (BN) di Kelantan dilihat masih kurang memuaskan.
Sambil menyifatkan sesetengah jentera bergerak dan melaksanakan program secara ‘hangat-hangat tahi ayam’, beliau berkata perkara itu harus diubah dalam memastikan jentera terus kuat bagi menghadapi pilihan raya yang bakal diadakan pada bila-bila masa.
“Semangat meningkat tetapi belum mencukupi, belum sampai tahap dah siap sedia hadapi pilihan raya,” katanya.]