KAPAR, 3 Ogos - Ketua UMNO Bahagian Kapar, Datuk Rahman Palil menegaskan bahawa BN akan bersatu hati bagi merampas kembali kerajaan negeri Selangor dari pemerintahan kerajaan pakatan pembangkang dengan gerak kerja BN Selangor yang telah berubah selaras dengan transformasi semasa.
“Gerakkerja secara berpasukan tanpa ada gerak kerja dalam pasukan tapi ada pasukan lain bagi memastikan kemenangan dan kejayaan. Aktiviti dan gerakkerja untuk memastikan kemenangan ini mestilah menawan hati rakyat dan kerja mengampu terus dibuang,” katanya dalam satu wawancara ekslusif bersama UMNO-Online.
Ujarnya, kerja berpura-pura untuk menawan hati rakyat bukan lagi satu permainan kerana rakyat bijak membuat penilaian.
“Pertelingkahan, perselisihan, cah keting, dan yang paling penting kita bekerja dalam satu pasukan tetapi ada pasukan lain, itu kena elak.”
Tambahnya, pemimpin UMNO sendiri perlu faham denyutan nadi rakyat dan sekiranya ada yang sudah tidak menyukai kita, kita harus terima hakikat kerana parti lebih penting daripada pemimpin.
“Dunia dalam politik hari ini untuk rakyat sudah tiada sempadan. Dia boleh memilih. Persepsi juga memainkan peranan penting. Kadang-kadang persepsi yang buruk boleh jadi baik, persepsi yang baik pun boleh jadi buruk kalau kita tidak menyusun strategi yang lebih ampuh dan lebih mantap,” ujarnya yang juga ADUN Sementa, Kapar.
Tegasnya, beliau yakin dengan langkah dan strategi yang dibuat oleh Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi UMNO negeri Selangor bahawa Selangor akan kembali bersama BN pada PRU ke-13 kelak.
“Kekangan, kepahitan, keperitan peniaga dan kepayahan dengan peraturan perniagaan yang dibuat oleh pihak kerajaan negeri yang sentiasa berubah dan tidak konsisten, cukai tanah naik, janji pilihan raya banyak yang tak tunai, bantuan kerajaan negeri yang pilih kasih sedangkan semasa zaman BN mentadbir dulu, masa saya EXCO Agama, saya tak pilih kasih untuk berikan bantuan zakat sedangkan hari ini lebih banyak retorik yang dicipta oleh kerajaan negeri.
“Saya yakin, kalau kita bekerja bersungguh-sungguh, BN boleh menang di Selangor ini. Dulu lain, sekarang lain. Tetapi bila sekarang lain, gerak langkah kita mesti penuh yakin bahawa kita kerja dalam satu pasukan dan kehendak rakyat harus kita lihat,” tambahnya lagi. – MediaUMNO