Monday, August 22, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

[DARI MEJA IBM] :
Assalamua'laikum w.b.t salam Ramadan salam Ukhwah dan salam sejahtera kepada semua

22 OGOS

HARI INI DALAM SEJARAH >>>

UPACARA PELANCARAN PENYERAHAN BENIH PADI PEMULIHAN BANJIR DI KELANTAN

TARIKH PERISTIWA : 22.o8.1967

Pada hari ini 22.8.1967, satu upacara pelancaran penyerahan benih padi pemulihan banjir telah diadakan di Majlis Tempatan Kadok, Kota Bharu, Kelantan. Pelancaran ini telah dijalankan oleh Encik Mohd. Ali bin Shariff, Setiausaha Politik Menteri Pertanian dan Syarikat Kerjasama bagi pihak Menteri Y.B. Tuan Haji Ghazali bin Haji Jawi yang tidak dapat hadir di majlis tersebut. Penyerahan benih padi berjumlah 191,000 gantang oleh Kerajaan Pusat ini adalah satu bentuk bantuan yang diberikan untuk memulihkan kehidupan rakyat negeri Kelantan setelah berlakunya banjir pada awal tahuh ini. Sebelum ini Kerajaan Pusat telahpun memulakan pemberian bantuan perkakas-perkakas rumah bagi mereka yang kehilangan rumahtangga, membaiki parit-parit dan tali air di seluruh negeri serta bantuan binatang-binatang ternakan kira-kira 1 juta ringgit kepada penternak-penternak. Untuk semua tujuan ini Kerajaan Pusat telah membelanjakan berjuta-juta ringgit. Dalam ucapan yang dibacakan oleh Encik Mohd. Ali Shariff, Y.B Menteri Pertanian dan Syarikat Kerjasama juga mengisytiharkan bahawa Kerajaan Pusat, menerusi Kementerian Pertanian dan Syarikat Kerjasama telah dan sedang melaksanakan berbagai-bagai projek untuk kemakmuran rakyat negeri Kelantan. Antara projek-projek yang telah dilaksanakan selain dari projek taliair Lemal yang menelan belanja puluhan juta ringgit, ialah melaksanakan rancangan taliair Alor Pasir berharga 110,000 ringgit dan di Pengkalan Kubur, Tumpat berharga 354,000 ringgit. Rancangan-rancangan perairan ini dan di seluruh negeri Kelantan akan menelan belanja sebanyak 40 juta ringgit kesemuanya. Manakala untuk nelayan-nelayan pula Kementerian ini juga akan menjalankan dua projek utama yang menggunakan bot-bot besar seberat lebih 50 tan di kawasan perairan Tumpat dan Bachok. Dengan rancangan-rancangan pembangunan oleh Kerajaan Pusat ini diharapkan puluhan ribu rakyat negeri Kelantan terutama para petani dan nelayan akan menerima kemudahan-kemudahan yang disediakan serta dapat membaiki taraf hidup mereka dengan lebih sempurna lagi.

Tuan Hj Ghazali Bin Jawi bekas Menteri Besar Perak dan Setiausaha politik Menteri Pertanian


SELAMAT MEMBACA KEPADA SEMUA. AMALAN MEMBACA MEMBUAT KITA TERUS MAJU KEHADAPAN DAN MENGHINDARKAN DIRI SEPERTI KATAK DI BAWAH TEMPURUNG. IKHLAS DARI : IBM
[SUMBER : ARKIB NEGARA]

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...