Saturday, May 5, 2012

HARI INI DALAM SEJARAH


05 MAY

SEJARAH WARISAN NEGARA DAN SEJARAH TUNJANG KETERBILANGAN

DARJAH MENENGAH MELAYU DIMULAKAN

Pada hari ini 5.5.1958 Darjah Menengah Melayu dimulakan.  Ia adalah merupakan usaha peringkat awal Kementerian Pelajaran memperkenalkan Sistem Pelajaran Melayu di peringkat Sekolah Menengah sebagai asas kepada perlaksanaan sepenuhnya Sekolah Menengah pengantar Melayu yang dicadangkan. Penggunaan Bahasa Melayu dalam bidang pelajaran telah dirangka dan diperbincangkan dalam Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pelajaran Razak yang kemudiannya telah mengeluarkan Penyata Razak. Sebelum Darjah Menengah Melayu dimulakan, murid-murid dari Sekolah Melayu yang ingin melanjutkan pelajaran terpaksa meneruskan pelajaran menengah mereka di Sekolah Menengah Inggeris kerana pengajian di Sekolah Melayu hanya setakat darjah 6. Mereka terpaksa menduduki Kelas Peralihan ( Remove Class) selama setahun untuk mempelajari Bahasa Inggeris. Serentak dengan bermulanya Darjah Menengah Melayu ini, sebanyak 15 buah kelas baru telah dibuka di seluruh negara.  Di Selangor 2 buah sekolah iaitu Sekolah Maxwell di Kuala Lumpur dan Sekolah Inggeris Kuala Selangor telah membuka Darjah Menengah Melayu bagi murid-murid Melayu yang melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat menengah. Di peringkat awal ini 3 mata pelajaran iaitu Ilmu Hisab, Ilmu Alam dan Bahasa Melayu diajarkan. Mereka juga mempelajari mata pelajaran lain dalam Bahasa Inggeris dan diwajibkan menduduki Kelas Peralihan selama setahun.  Untuk mengatasi masalah buku guru-guru telah dibenarkan menggunakan buku-buku teks dari Indonesia. Di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Sekolah Tengku Khursiah dan juga Sekolah Tengku Mohamad telah membuka Darjah Menengah Melayu yang menampung seramai 35 orang murid. Di Perak pula beberapa buah kelas telah dibuka di Teluk Anson dan Kuala Kangsar, hasil dari tuntutan gabungan Persatuan Guru-guru Melayu Semenanjung. Kelas-kelas yang pertama dibuka di kawasan ini telah dihadiri oleh seramai 83 orang murid. Di Kuala Kangsar Darjah Menengah Melayu telah dibuka di Clifford School dan di Teluk Anson di Government English School. Bermulanya Darjah Menengah Melayu yang pertama pada hari ini dalam tahun 1958 telah menjadi asas kepada kewujudan dan perkembangan Sekolah Menengah Melayu yang kini menjadi tunggak kepada sistem pelajaran kebangsaan di negara ini.
SUMBER : ARKIB NEGARA.GOV.MY
TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA
Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...