PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan aksi tersendiri ketika memberikan ucapan kepada ribuan ahli dan orang ramai pada Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-66 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi.
KUALA LUMPUR 11 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil gegak gempita malam ini apabila seakan-akan telah membuat keputusan mahu membubarkan Parlimen.
Ketika menyifatkan Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-66 itu begitu hebat dengan kehadiran kira-kira 120,000 orang dan akan diingati dalam lipatan sejarah negara, Presiden UMNO itu berkata, beliau seperti merasakan mahu menghadap Yang di-Pertuan Agong esok.
Ketika hadirin yang terdiri daripada ahli UMNO termasuk ketua-ketua parti komponen, badan-badan bukan kerajaan serta para perwakilan asing dan wakil media bersorak mendengar ungkapan beliau, Najib kemudian ‘meredakan’ keadaan dengan menarik perhatian hadirin supaya menafsir tujuh sebab sama ada Pilihan Raya Umum ke-13 perlu diadakan dalam waktu terdekat atau tidak.
“Baik...nak ada pilihan raya esok, bulan Jun ke...bila-bila bulan...tahun depan...tak boleh (tahun depan)? kita dah bersedia! kita dah bersedia! kita dah bersedia!, boleh menang! boleh menang! boleh menang!.
“Tuan-tuan dan puan-puan, saya bagi tujuh sebab...sebab tujuh dekad UMNO dah berjasa pada negara.
“Kalau kita nak pilihan raya nanti bila sampai masanya, kita perlu buat perhitungan. Ada tujuh prinsip yang kita boleh buat pertimbangan," kata beliau ketika berucap menyempurnakan majlis sambutan tersebut.
Pada majlis yang turut dihadiri Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan veteran parti termasuk bekas Presiden, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu, Najib mengungkapkan satu persatu tujuh prinsip berkenaan yang perlu direnung oleh rakyat Malaysia sebelum Parlimen boleh dibubarkan, iaitu:
1) Antara Barisan Nasional (BN) dan pembangkang, mana satu kepimpinan yang boleh dipercayai dan janjinya ditepati. Siapa sudah bagi BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), Baucar Buku 1Malaysia kepada mana-mana sekolah, siapa sudah beri (bonus atau durian runtuh) kepada peneroka Felda.
Siapa sudah buat Klinik Rakyat 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia, jalan luar bandar dan dalam bandar, siapa sudah buat sekolah. Siapa sudah buat segala-galanya...bukankah BN.
Namun, sebelum saya (Perdana Menteri) pergi ke prinsip kedua, saya nak tuan-tuan nyatakan siapa yang ‘pegang kepala’ Kampung Buah Pala (di Pulau Pinang) yang janji pakatan pembangkang, kalau mereka menang, mahu kekalkan kampung berkenaan.
Siapa pula buat 22 janji di Selangor tetapi sebahagian besarnya gagal ditunaikan. Siapa yang gagal uruskan soal air?
2) Yang kedua, kalau tentu (parti itu) nak dipilih, tentukan kita pilih hari esok lebih baik dari hari ini. Siapa yang boleh beritahu ini?
3) Siapa boleh pelihara kedaulatan undang-undang, kesucian Islam, keluhuran Perlembagaan, institusi raja-raja serta hak-hak kaum lain.
4) Siapa boleh uruskan ekonomi kita yang sangat baik ini serta membawa pertumbuhan yang memberangsangkan?
5) Siapa yang boleh menjamin keharmonian dan perpaduan (kaum) berkekalan?
6) Siapa yang boleh membuat pembaharuan secara tersusun. Siapa yang membawa transformasi kepada negara ini?
7) Siapa yang boleh tentukan kemakmuran negara sehingga hari ini dengan izin Allah boleh menjadi negara yang berpendapatan tinggi?
Dalam hal ini, Presiden UMNO itu menarik perhatian hadirin pada sambutan itu supaya menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai saksi di mana semua mereka berkumpul untuk bersama-sama memupuk keyakinan menghadapi pilihan raya umum.
“Siapa kata dokongan orang Melayu pada UMNO sudah menurun sedangkan hari ini kita menyaksikan sokongan kepada kita semakin meningkat.
“Saya nak tanya, apabila kedudukan orang Melayu dipersoal, Islam diasak, bila institusi raja-raja diketepikan, siapa yang pertahankannya.
“Sesungguhnya UMNO sudah berjalan begitu jauh, setiap inci tanah sudah dimakmurkan. Jangan sesekali kita biarkan kita dibinasakan. Biar putih tulang, jangan biar rakyat dan bangsa dibinasakan, kelak anak cucu terbangsat hidup mereka,’’ katanya.
Kepada hadirin dan ahli UMNO seluruhnya, Najib berpesan: “Jangan terpalit damak beracun, sandiwara lawan yang tempah kegagalan.
“Ayuhlah, jangankan gerimis, hujan pun kita akan redah, ribut taufan kita akan harungi, jangankan air bah, gelombang pun kita akan harungi... jangankan gerhana, gelap gelita pun kita harungi. Biar berdentum guruh di langit, hidup UMNO untuk Barisan (Nasional)," tegasnya.
Maaf ye, IBM terpaksa cedok al-kisah sambutan ulang tahun UMNO ke 66 tahun dari Utusan Malaysia kerana kamera dan handphone (smart phone) hilang, kena kebas di orang kerana terlalu ramainya manusia pada malam tu. Tak ada mood nak catit,maka kongsi cerita dengan Utusan Malaysia online. Terima kasih. ~ IBM
DAN......TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA