Sunday, January 29, 2012

HARI INI DALAM SEJARAH

Wisma PKNS Tempatnya Perasmian Pusat Perdagangan Eksport (MEXPO) Oleh YAB Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad

29 JANUARI

MENGIMBAU KEMBALI SEJARAH SILAM TANAH AIR KITA DULU DAN KINI

PENUBUHAN PUSAT PERDAGANGAN EKSPORT MALAYSIA (MEXPO)
PENUBUHAN PUSAT PERDAGANGAN EKSPORT MALAYSIA (MEXPO)Tarikh Peristiwa: 29-01-1980

Pada hari ini dalam tahun 1980, Pusat Perdagangan Eksport Malaysia (MEXPO) telah dirasmikan pembukaannya oleh YAB Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian. Penubuhan MEXPO merupakan satu langkah penting kerajaan dalam usahanya untuk membantu ke arah perkembangan dagangan dan mempelbagaikan hasil eksport. Pusat ini terletak ditengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur iaitu di Wisma PKNS, Jalan Raja Laut. Ia mempunyai reka bentuk yang indah sebagai sebuah pusat pameran barangan Malaysia yang mempamerkan segala jenis barangan dari jenis getah dan plastik sehinggalah kepada barang-barang tekstil, pakaian dan makanan dalam tin yang disusun mengikut kumpulan industri masing-masing. MEXPO juga menyediakan pelbagai rancangan dan perkhidmatan yang berikut untuk para pengeksport tempatan:-
  1. Seminar-seminar untuk para pengeksport Malaysia mengetahui peluang-peluang perdagangan dan selok-belok pemasaran barangan mereka di luar negeri.
  2. Maklumat perdagangan mengenai pasaran luar negeri, membantu para pekilang dan pengeksport memasarkan barangan mereka.
  3. Menghimpun daftar pengeksport dan pengimport beserta dengan alamat hubungan dan maklumat-maklumat tertentu yang berguna untuk faedah para pekilang dan pengeksport Malaysia.
  4. Ruang pameran untuk para pengeksport memperagakan barangan mereka guna untuk pendedahan yang lebih bererti kepada para pembeli asing.
  5. Buku-buku kecil, risalah-risalah dan brosur mengenai tinjauan negeri, tinjauan pasaran, panduan untuk pedagang dan bahan-bahan bacaan lain mengenai perdagangan.
Dalam ucapan perasmiannya, YAB Dato' Seri Mahathir Mohamad berharap dengan penubuhan pusat ini usaha Kerajaan dalam rancangan perkembangan perdagangan serta hasrat bekerjasama dengan pihak swasta adalah nyata. Kemudahan-kemudahan yang ditawarkan oleh pusat ini akan menggalakkan lebih banyak firma-firma di Malaysia tampil ke hadapan memasuki bidang pasaran antarabangsa dengan menggunakan peluang-peluang yang ada disediakan untuk mereka. 

SUMBER : [ARKIB NEGARA.COM]

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA  
                      --------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...