KEPADA semua pembaca yang budiman, IBM ingin mengucapkan SELAMAT TAHUN BARU CINA 2012 khususnya kaum Tionghua semoga di tahun baru ini (Tahun Naga) lebih berjaya didalam apa jua bidang dan tinggikan lagi semangat 1 Malaysia. Kita rakyat Malaysia. Mesti boleh. - IBM.
Di samping itu, sempena tahun baru cina ini mari kita baca coretan dari TOK PERAK dalam "kopi pahit hujung minggu".'. Agak menarik jugak :
SANG NAGA GEMBIRA CAMPUR DUKA.
TAHUN naga menunjukkan permulaan baik, bukan sahaja pada masyarakat keturunan Cina, tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia, khasnya mereka yang telah memasuki tahap warga emas. Berpuluh ribu orang yang layak telah pun menerima RM500 di bawah skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Sejak pertengahan minggu lalu, berpuluh juta RM telah diagihkan kepada warga emas di seluruh negara.
Ada yang kata BR1M adalah gula-gula politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13. Ada yang kata ini taktik untuk mengaburi mata rakyat. Ada yang menuduh ini sebagai rasuah kepada pengundi. Bagaimana pun, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukannya gula-gula, bukan pengabur mata, malah bukan rasuah.
Bagi yang telah menerima RM500, mereka tidak kisah sangat sama ada itu gula-gula, pengabur mata, rasuah atau apa sahaja namnya. Bagi mereka apa yang penting dengan bantuan tersebut dapat melegakan sedikit tekanaan kewangan menyambut Gong Xi Fa Cai. Bantuan tersebut dapat membeli keperluan menyambut tahun baru, malah bagi orang tua apa yang dianggap gula-gula itu boleh digunakan sebagai angpau kepada cucu-cicit. Pendek kata naga tersenyum melihat RM500.
"WALAUPUN gembira sebab ramai dapat RM500 tunai percuma, Sang Naga tetap berduka apabila melihat jalan dan lebuh raya kita terus berlumuran darah. Meski dalam suasana perayaan, pengguna jalan raya kita terus tidak berhemah. Setakat khamis lalu, hari ketiga Ops Sikap 25, sudah 40 orang maut dalam kemalangan jalan raya. Berpuluh ribu saman trafik telah dikeluarkan atas berbagai kesalahan pemandu, terutaman memandu melebehi had laju. Sudah 25 kali Ops Sikap diadakan - pada setiap musim perayaan - tidak pernah sekali angka kematian menurun. Hairan, semakin kerap Ops seperti itu diadakan, semakin banyak pula kemalangan jalan raya.
Macam-macam ops telah dilakukan, tetapi kemalangan jalan raya tetap ‘on’ tidak pernah ‘off’. Kita pasang kamera, adakan pasukan petugas khas, sekatan jalan raya sana-sini, malah gula helikopter untuk memantau kenderaan. Namun masih ramai orang mati di jalan raya. Agaknya sebab sudah terlalu lama – 25 kali – orang sudah lali dengan Ops Sikap. Ada baiknya ops itu dihentikan, gantikan kaedah lain. Ops Sikap gagal mendidik pemandu kita supaya bersikap mula.
Jangan lagi ‘berops-ops’, sebaliknya pihak berkuasa mesti bertegas menegakkan hukum undang-undang jalan raya. Siapa yang salah, tidak kira mat rempit atau pemilik kereta mewah, kenakan hukuman tanpa rayu-rayu. Selagi kita tidak tegas, kita akan gagal mendidik pemandu walaupun Ops Sikap ke-100. *TENTU Sang Naga juga tidak berapa gembira sebab tahun ini barang-barang keperluan naik harga di luar kemampuan rakyat terbanyak. Walaupun kerajaan menyenaraikan banyak barang kawalan, keadaannya tetap mahal.
Ikan, sayur buah dan lain-lain bahan makanan utama sudah di luar kemampuan rakyat biasa. Bukan sahaja rakyat biasa orang bergaji besar pun terasa perit setiap kali turun ke pasar untuk membeli barang. agak menghairakan, walaupun terasa perit untuk membeli makanan, masyarakat Cina tidak kedekut mengeluarkan duit membeli mercun dan bunga api. Walaupun mercun diharamkan, siang malam terdengar letupan, tanpa sebarang tindakan. Bunga api pula dibakar menerangi langit dan bumi. Pesta bakar-membakar mercun dan bunga api bagaikan tiada sekatan. Mereka kata tidak meriah raya Cina kalau tidak bakar mercun dan bunga api.
*AKHIR kalam, Sang Naga gembira sebab Tahun Baru Cina kali ini negara kita dilimpahi dengan limau mandarin. Bekalan limau berwarna kuning emas itu lebih dari biasa, menyebabkan orang ramai, termasuk bukan Cina, terlebih makan hingga ada yang sakit perut. Tidak kira saiz dan rasa, saya amat mengharagai buah-buah emas itu. Maka dalam kegembiraan terlebih buah itulah saya mengambil kesempatan mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada seluruh kaum Cina. Biar terlebih buah jangan terlebih tekan minyak semasa memandu. - TOK PERAK.
TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA
-----------------------------------------------------------------------------------------------