Wednesday, July 13, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah.

[DARI MEJA IBM] :
ASSALAMUA'LAIKUM W.B.T SALAM UKHWAH DAN SALAM SEJAHTERA KEPADA SEMUA

13 JULAI

HARI INI DALAM SEJARAH :

PERASMIAN ASRAMA SEMAI BAKTI KELANA JAYA

TARIKH PERISTIWA : 13.07.1990

Federal Land Development Authority atau lebih dikenali sebagai `Felda' telah ditubuhkan pada 1 Julai 1956. Penubuhannya dibuat berdasarkan kepada satu laporan dan cadangan yang dikemukakan khas oleh sebuah Jawatankuasa Khas yang dibentuk untuk merancang pembangunan tanah dan mengkaji masalah berkaitan dengan sosio-ekonomi. Tujuan utama penubuhannya adalah berkisar kepada soal-soal pembangunan tanah. Walaupun begitu masalah pendidikan dan sosial peneroka tidak pernah diabaikan. Pada hari ini 13 Julai 1990 sebuah asrama yang dikhaskan untuk menempatkan anak-anak peneroka Felda telah dibuka dengan rasminya oleh Y.A.B. Perdana Menteri Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad di Kompleks Asrama Semai Bakti Kelana Jaya. Asrama Semai Bakti didirikan sebagai salah satu bagi kemudahan yang disediakan oleh Felda untuk anak-anak peneroka yang terpaksa keluar dari kawasan Felda untuk menyambung pelajaran di bandar-bandar. Usaha Felda mendirikan asrama-asrama Semai Bakti ini melambangkan kesungguhan pihak pengurusan meningkatkan taraf pendidikan anak-anak peneroka dan juga taraf pendidikan negara. Asrama Semai Bakti Kelana Jaya yang dirasmikan pada hari ini telah mula dibina pada Ogos 1988 di mana upacara perletakan batu asasnya telah dilakukan oleh Menteri Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah Y.B. Datuk Dr. Sulaiman b. Daud. Perdana Menteri semasa merasmikan Asrama tersebut menyatakan bahawa pendidikan adalah merupakan alat yang penting dan keperluan utama kepada kemajuan sesebuah negara. Untuk mempastikan negara terus pesat membangun, tenaga mahir yang berpengetahuan dan terlatih perlu disediakan. Jentera pembangunan tidak akan berjalan lancar jika tidak digerakkan oleh pengurusan yang cekap dan pekerja-pekerja mahir yang berdedikasi. Beliau juga mengingatkan golongan pelajar agar menggunakan sepenuhnya setiap kesempatan dan kemudahan yang disediakan untuk memperbaiki diri sendiri demi masa depan keluarga dan masyarakat. Mereka perlu gigih dan bersungguh-sungguh dalam menimba ilmu pengetahuan. Perasmian Asrama Semai Bakti Kelana Jaya pada hari ini dalam tahun 1990 telah membuktikan bahawa Pihak Pengurusan memandang serius mengenai pembangunan pendidikan kepada anak-anak peneroka. Dari segi objektifnya Felda berusaha untuk menempatkan golongan miskin di tanah-tanah rancangan-rancangan untuk meninggikan taraf hidup mereka, di samping berperanan memupuk dan membentuk satu masyarakat yang maju dan berilmu. Penubuhan Asrama-asrama Semai Bakti adalah salah satu cara bagi menyempurnakan hasrat dan cita-cita murni tersebut.

Sebahagian daripada para pelajar di Asrama Semai Bakti Kelana Jaya

SELAMAT MEMBACA KEPADA SEMUA KERANA MEMBACA MEMBAWA KITA KE MERCU KEJAYAAN. IKHLAS DARI : IBM
[SUMBER : ARKIB NEGARA]
Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...