[KUALA LUMPUR – Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim memperoleh ganti rugi sebanyak RM300,000 daripada seorang blogger, Azimudin Ahmat yang memfitnah beliau merogol pembantu rumahnya.
Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof turut mengarahkan bloger tersebut membuat bayaran kos sebanyak RM100,000.
Amizudin, 42, bertanggungjawab bagi perbuatan memfitnah Rais, 69, menerusi sebuah artikel yang dipaparkan dalam blognya, sharpshooterblogger.blogspot.com.
Pada 31 Januari lalu, Rais memfailkan saman terhadap Amizudin, yang juga anggota jawatankuasa sayap Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung artikel berkenaan, yang disiar beserta dengan gambar beliau, pada atau sekitar 28 Disember tahun lepas.
Dalam pernyataan tuntutan, Rais berkata, seluruh artikel itu adalah berniat jahat serta memfitnahnya, selain membawa maksud yang beliau melakukan kesalahan serius, iaitu merogol dan mampu membunuh pembantu rumah Indonesianya.
Rais yang juga Ahli Parlimen Jelebu di Negeri Sembilan, menafikan dakwaan itu selepas penulis blog berkenaan menamakannya.
Susulan itu, seorang wanita yang pernah bekerja sebagai pembantu rumah Rais selama lapan tahun, dilaporkan portal berita Indonesia menafikan yang dia diberi layanan buruk atau dirogol majikannya.
Terdahulu Muhammad Shafee meminta mahkamah memerintahkan penulis blog berkenaan membayar ganti rugi teruk dan teladan kepada Rais kerana fitnah yang disiarkan amat serius dan menyebabkan reputasi menteri itu tercalar.
“Saya rasa tidak pernah lagi seorang menteri kabinet, sama ada di Malaysia atau di dunia, difitnah sedemikian rupa,” katanya sambil menambah Rais telah lama bergiat dalam arena politik serta menganggotai kabinet selama 37 tahun di bawah lima perdana menteri.
Leong pula berkata, Amizudin hanya memaparkan artikel yang telah disiarkan akhbar Harakah tanpa menambah sebarang perkataan dan beliau juga bukan penulis asalnya.]