Thursday, July 14, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah.

[DARI MEJA IBM] :
ASSALAMU'ALAIKUM W.B.T SALAM UKHWAH DAN SALAM SEJAHTERA KEPADA SEMUA

14 JULAI

KDYMM Tuanku Sultan Kedah

HARI INI DALAM SEJARAH :

SULTAN KEDAH MERASMIKAN PEMBUKAAN MESYUARAT AGONG TAHUNAN GABUNGAN DEWAN PERNIAGAAN MELAYU MALAYSIA

TARIKH PERISTIWA : 10.07.1967

Pada hari ini 14.07.1967, Sultan Kedah telah berkenan merasmikan pembukaan Mesyuarat Tahunan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia. Majlis yang berlangsung di Balai Besar, Alor Setar, Kedah telah dihadiri oleh lebih 300 orang wakil dari seluruh Malaysia. Turut hadir ialah YAB Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar Kedah, Senator-senator serta orang-orang kenamaan negeri. Dalam titah ucapannya, Sultan Kedah menyatakan tujuan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri membantu kaum bumiputera dalam bidang perniagaan dan perusahaan ialah untuk membaiki taraf hidup di samping memperkuatkan lagi ekonomi negara ini. Baginda seterusnya berharap peniaga-peniaga Melayu melipat gandakan usaha untuk mencapai kejayaan di samping mengeratkan hubungan dengan kaum-kaum lain untuk memperolehi pengetahuan yang lebih luas dan kerjasama yang lebih erat. Tun Abdul Razak dalam ucapannya pula mencadangkan supaya Dewan ini mengamalkan dan mempelopori konsep 'Buat Sendiri' (do it yourself). Pihak Dewan hendaklah menyakinkan kepada kerajaan, bahawa mereka sanggup menjalankan projek-projek 'buat sendiri' dan bantuan kerajaan akan diberikan sekiranya perlu. Apa yang penting tambah Tun Abdul Razak lagi ialah pihak dewan berikhtiar untuk menjalankannya. Tun Abdul Razak seterusnya menegaskan bahawa pihak MARA memberi bantuan dalam bentuk wang pinjaman, khidmat nasihat dan latihan. Oleh itu kerajaan berkehendakkan 100% penyertaan bumiputera baik dari segi modal serta pekerja dalam satu-satu perusahaan dan perniagaan yang dilakukan. Beliau juga menggalakkan usahasama antara orang-orang Melayu, Cina dan India. Saranan-saranan yang dibuat oleh Sultan Kedah dan Tun Abdul Razak diharapkan dapat memberi galakan kepada peniaga-peniaga bumiputera supaya lebih maju dalam perniagaan dan perusahaan serta memberi saingan yang sihat dengan bangsa-bangsa asing.



SELAMAT MEMBACA KEPADA SEMUA KERANA MEMBACA MENGUATKAN SEMANGAT KITA UNTUK TERUS MAJU KEHADAPAN. IKHLAS : IBM
[SUMBER : ARKIB NEGARA]
Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...