Tuesday, April 26, 2011

PAS memang parti yang tidak bermaruah

Kemesraan yang tidaklah begitu mesra, hanya lakunan saja.

Megah, kononnya mereka akan tawan Putra Jaya, bila ?

Apa Orang Kata, PAS Dan DAP Bertaut Juga.

ASSALAMUALAIKUM PARA PEMBACA YANG BUDIMAN

Tulisan dibawah ini adalah tulisan Sdr Subky Latif, bekas Ketua Penerangan Pas pusat yang di siarkan oleh HarakahDaily. Tujuan saya letak di sini bagi membolehkan tulisan ini disebarkan semaksimum mungkin bagi supaya lebih ramai orang dapat membacanya, terutamanya masyarakat Melayu amnya - IBM


Apa orang kata, PAS dan DAP bertaut juga
Subky Latif :

MACAM-macam orang kata: PAS sudah diperalat DAP; PAS telah menggadai prinsipnya kerana bersekutu dengan DAP; tiada lagi PAS dihormati oleh muafakatnya dengan DAP; bahkan dengan persefahaman itu PAS dikatakan tiada lagi memperjuang Islam dan kepentingan orang Melayu.

Tiada dihirau oleh PAS. Bertambah kerap gambar kelihatan Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang bersama Lim Kit Siang. Dan Tok Guru Nik Abdul Aziz pula menolak berpecah PAS dan DAP sekalipun beberapa wakil rakyat PKR meninggalkan Pakatan Rakyat.

Menteri Besar Kelantan itu sangat gembira dengan hubungan yang ada kerana ia membuka ruang dakwah orang bukan Islam, malah beliau merasakan DAP sudah tidak sensitif lagi dengan pandangan Islam yang dibawa oleh PAS.

Jalinan yang ada itu mulanya justeru politik yang menimpa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bolehlah dikatakan peranan dan kebijaksanaan Anwarlah yang merapatkan kedua parti itu boleh berada di bawah satu bumbung.

Dikenang kejadian lampau, seolah-olah tiada lorong bagi kedua parti pembangkang itu untuk bekerjasama malah untuk berdekat-dekat.

Pernah bertempur PAS pusat dengan Dewan Pemuda PAS pusatnya atas isu kemungkinan kerjasama PAS dan DAP. Di hujung kepimpinan Datuk Asri, pernah beliau menyebut kemungkinan kerjasama kedua parti itu apabila soalan itu ditanya wartawan.


Pemuda menolak sekalipun kenyataan Datuk Asri itu berlandas kepada teori kemungkinan. Bagi kumpulan popular PAS masa itu, teori kemungkinan tidak terpakai dalam isu itu. Bahkan ia dikatakan suatu yang mustahil.

Malah DAP sendiri tidak boleh dilihat bersua dan bertemu PAS. Akan payah ia menghadapi situasi apabila masyarakat Cina menempelaknya sudah bersekongkol dengan PAS.

Dalam majlis keramaian pemimpin DAP menjauhi pemimpn PAS dan pemimpin PAS mengelak dari berdekatan dengan DAP. Pemimpin kedua pihak hanya boleh berada dalam satu pentas forum di universiti saja.

Apabila Tengku Razaleilgh Hamzah yang memimpin S46 mengadakan hubungan dengan PAS dan DAP, Ku Li mengadakan pertemuan yang berasingan.

Hubungan yang seperti itu pun menyebabkan PAS dan DAP terpaksa memahamkan orang ramai bagi menjernihkan keadaan. Terpaksa PAS mengeluarkan kenyataan menyamakan keadaan itu seperti hubungan diplomasi antara Malaysia dengan Singapura.

Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan Israel. Singapura ada hubungan itu dengan Israel. Tetapi ia tidak menghalang Malaysia meneruskan hubungan dengan Singapura.

DAP juga membuat penjelasan yang sama tetapi yang digunakan ialah hubungan Malaysia dengan Amerika. Boleh Malaysia mengadakan hubungan dengan Amerika sekalipun Amerika bersaudara dengan Israel.

Itulah situasai politik yang disusun oleh UMNO selama-lamanya. Tetapi ia sudah berubah. Kedua-duanya sudah bersama dan ziarah menziarahi. Adalah politik yang menimpa Anwar membuka medan baru bagi kedua PAS dan DAP.

Dengan hubungan yang ada, kalau ditakdirkan PKR tidak ada seperti yang diinginkan oleh UMNO, maka sudah boleh keduanya tidak menggunakan khidmat pihak ketiga.

Sekalipun yang terjadi pada Anwar itu satu musibah yang perit bagi Anwar dan ia satu tragedi kepada Malaysia, tetapi ia seperti memberi rahmat kepada PAS dan DAP. Jika Anwar tidak dibuang Dr. Majathir dari UMNO dan kerajaan, maka tidak diketahui apa yang memungkinkan PAS dan DAP berkawan seperti abang adik?

Apa yang ditunggu bagi mendekatkannya sedang gandingan antara DAP dan PAS itu adalah satu tuntutan yang penting bagi politik Malaysia untuk keluar dari kuasa politik satu parti?

Tidak tahu apa yang ada dalam otak Dr. Mahathir, dia membuang Anwar dari kumpulannya dan menyimpannya di Penjara Sungai Buluh. Apabila Anwar ditahan serta beberapa orang lagi penyokongnya, Ustaz Fadzil Noor, Presiden PAS ketika yang berada di Jalan Pahang, Kuala Lumpur bersama Mahfuz Omar (kini datuk) memanggil saya.

Perintahnya supaya kami memanggil parti-parti politik dan individu yang terkemuka dalam masyarakat termasuk DAP. Datang Lim Kit Siang dalam satu perjumpaan di Markaz Taman Melewar. Perjumpaan itu membentuk GERAK bagi menyatakan tentangan terhadap tindakan ke atas Anwar.

Geraklah yang menggerakkan permulaan hubungan antara DAP dan PAS. Markaz Tarbiyah itulah yang memainkan peranan tempat pertemuan kedua pihak dan nasib malang Anwar yang menemukan mereka.

Tempoh berbulan madunya tidak lama. Probokasi Dr. Mahathir dan UMNO menyebabkan muafakat Barisan Alternatif PAS-DAP itu tidak lama. Tinggallah Barisan Alternatif dengan PAS, KeADILan dan PRM sedang Anwar terus terbelenggu di Sungai Buluh.

Setelah beberapa tahun mahkamah membebaskan Anwar. Apabila Anwar berada di luar penjara, dia memainkan peranan membawa semula DAP dan PAS dalam satu jalinan baru bersama KeADILan yang sudah menjadi PKR.

Kerjasama ketiganya memukul terus Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum 8 Mac, 2008 hingga BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen, ia gagal menawan Kelantan dan ia merudum pula di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Ia juga kecewa di Wilayah Persekutuan.

Ia masih tiga parti tetapi tidak berlawan sama sendiri dalam pilihan raya. Lepas itu baru mereka membentuk parti kumpulan kedua yang dinamakan Pakatan Rakyat dan menjadikan Anwar sebagai ketua pembangkang pemimpin de fakto Pakatan itu.

Anwar cuba dibinasakan lagi sebagai usaha membinasakan Pakatan Rakyat. Peranan Anwar itu penting dan masih penting. Teori UMNO ialah jika Anwar binasa, PKR binasa dan Pakatan Rakyat juga binasa. Tetapi peranan Anwar itu sudah merapat kukuh muafakat PAS dan DAP.

Jika ditakdir Anwar dibinasakan, ia tidak lebih dari pemimpin boleh datang dan boleh pergi. Kit Siang, Ustaz Hadi, Tok Guru Nik Aziz juga boleh pergi, tetapi PAS, DAP dan PKR sudah berada pada rel yang selesa- IBM


Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...