Sunday, June 19, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

DARI MEJA IBM :
ASSALAMUA'LAIKUM W.B.T SALAM UKHWAH DAN SALAM SEJAHTERA KEPADA SEMUA

19 JUN

HARI INI DALAM SEJARAH :

PELANCARAN RANCANGAN PERKHIDMATAN TV PENDIDIKAN
Tarikh Peristiwa : 19.06.1972

Pada hari ini 19.06.1972, Perdana Menteri Tun Abdul Razak telah merasmikan pelancaran rancangan Perkhidmatan TV Pendidikan atau ETV. Upacara pelancaran ini telah diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman di Kuala Lumpur. Sebaik sahaja selesai Tun Abdul Razak mengisytiharkan pelancaran rancangan TV pendidikan itu, para jemputan di upacara tersebut telah menyaksikan rancangan permulaan TV pendidikan itu menerusi kira-kira 10 buah peti televisyen yang telah disediakan khas untuk upacara pelancaran tersebut. Rancangan permulaan ini juga telah ditonton serentak oleh orang ramai di seluruh negara. Dalam upacara pelancaran rancangan TV pendidikan ini, Tun Abdul Razak telah menyifatkan upacara tersebut sebagai peristiwa bersejarah yang menunjukkan betapa mustahaknya pelajaran dan latihan tenaga manusia dalam pembanguan negara. Perkhidmatan TV pendidikan akan dapat memainkan peranan penting dalam melaksanakan kehendak Rancangan Malaysia Kedua untuk menyatukan sistem pelajaran bagi mencapai perpaduan negara. Rancangan TV pendidikan yang disiarkan melalui TV Malaysia adalah bertujuan membantu guru-guru dan juga para pelajar dalam beberapa mata pelajaran khasnya yang berhubung dengan sains dan teknologi serta tatarakyat. Sebagai permulaannya Kementerian Pelajaran Malaysia telah membahagi-bahagikan 500 buah peti televisyen kepada Sekolah-sekolah Menengah di seluruh negara. Rancangan ini juga akan diperluaskan kepada murid-murid sekolah rendah. Oleh itu dengan pelancaran TV Pendidikan pada hari ini dalam tahun 1972 maka jelaslah bahawa kerajaan telah berusaha berbagai cara untuk membantu para guru dan murid-murid dalam usaha meninggikan prestasi masing-masing dalam bidang pendidikan.

SELAMAT MEMBACA : IKHLAS DARI : IBM

SUMBER : ARKIB NEGARA

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...