Thursday, June 23, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

DARI MEJA IBM :
ASSALAMUA'LAIKUM W.B.T SALAM UKHWAH DAN SALAM SEJAHTERA KEPADA SEMUA


23 JUN


YAB TUN ABDUL RAZAK MERASMIKAN KILANG KELAPA SAWIT YANG PERTAMA KEPUNYAAN LEMBAGA KEMAJUAN TANAH PERSEKUTUAN ( FELDA)
Tarikh Peristiwa : 23.06.1967

Pada hari ini 23.6.1967 YAB Tun Abdul Razak Timbalan Perdana Menteri Malaysia telah merasmikan pembukaan kilang kelapa sawit yang pertama kepunyaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau ringkasnya FELDA di Terengganu. Di dalam ucapan perasmiannya, Tun Abdul Razak mensifatkan kilang kelapa sawit ini sebagai simbol pendekatan yang progresif Kerajaan dalam bidang rancangan kemajuan luar bandarnya. Pembinaan kilang ini juga melambangkan sesuatu perubahan penting yang berlaku kepada perusahaan pertanian kecil di negara ini. Satu lagi kejayaan yang dicapai melalui pembinaan kilang kelapa sawit ini ialah ianya dijalankan sepenuhnya oleh jurutera-jurutera dan juruteknik-juruteknik Malaysia yang terlatih dan boleh memproses dua puluh lapan tan buah kelapa sawit dalam masa satu jam. Kilang ini dijangka akan mengeluarkan sebanyak dua puluh tiga ribu tan minyak kelapa sawit setahun mulai 1976. Tun Abdul Razak seterusnya menyatakan bahawa pembangunan yang dinamis dalam kawasan luar bandar mestilah diasaskan kepada sistem pengeluaran dan pasaran yang progresif. Ini adalah untuk mendapatkan faedah yang besar khususnya kepada peneroka-peneroka tanah rancangan. Tambah beliau lagi kejayaan satu-satu rancangan tanah bergantung kepada pihak Kerajaan dan peneroka-peneroka kerana rancangan tersebut merupakan perusahaan bersama antara mereka. Untuk kejayaan yang lebih besar, Tun Razak menyatakan bahawa Kerajaan bercadang untuk membina lima buah kilang yang lebih besar bagi menampung pengeluaran hasil kelapa sawit di tanah rancangan FELDA Jengka, Pahang. Dengan pembinaan kilang-kilang ini, dapatlah mewujudkan kira-kira sepuluh ribu peluang pekerjaan kepada belia-belia. Perasmian kilang kelapa sawit yang pertama kepunyaan FELDA oleh YAB Tun Abdul Razak pada hari ini dalam tahun 1967, sesungguhnya memberikan faedah yang besar kepada peneroka-peneroka di tanah-tanah rancangan untuk memproses hasil-hasil tanaman mereka. Ianya juga menunjukkan kesungguhan Kerajaan dalam memajukan pembangunan rancangan luar bandar.


SELAMAT MEMBACA - IBM

SUMBER : ARKIB NEGARA

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...