Sunday, June 5, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

DARI MEJA IBM :

Assalamu'alaikum w.b.t salam ukhwah dan salam sejahtera


05 JUN

HARI INI DALAM SEJARAH :

PERLETAKAN BATU ASAS BANGUNAN IBU PEJABAT R.I.D.A.
Tarikh Peristiwa : 05.06.1965

Program pembangunan negara dijalankan setiap 5 tahun sekali. Rancangan pembangunan yang dirancang sentiasa menitik beratkan rakyat dari segenap lapisan masyarakat. Peringkat awal rancangan pembangunan negara memberikan penekanan kepada dua aspek penting iaitu pertama: pembangunan perusahaan tanah dan perusahaan tanaman, dan kedua: perindustrian yang meliputi perusahaan kilang-kilang dan sebagainya. Satu langkah tambahan ke arah pembangunan negara, program meningkatkan pendapatan rakyat juga turut berikan perhatian khusus. Kerajaan telah menubuhkan RIDA bagi membantu menjalankan tugas-tugas ke arah meningkatkan pendapatan penduduk terutamanya di luar bandar. Pada hari ini 6 Jun 1965, Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak telah menyempurnakan perletakan batu asas bangunan baru RIDA di Jalan Tunku Abdul Rahman. Bangunan yang bernilai RM 3 juta ini akan dijadikan pusat pengendalian, perancangan dan pentadbiran RIDA kemudian ditukarkan namanya kepada MARA. Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak semasa berucap di upacara tersebut berharap agar RIDA akan terus menolong melatih rakyat dalam bidang iktisad dan perniagaan. Beliau juga menggariskan tujuh tugas penting yang akan dikendalikan oleh bahagian-bahagian di dalam pentadbiran RIDA.

Bahagian-bahagian tersebut ialah:-

  1. Bahagian Latihan.
  2. Bahagian Kemudahan modal dan pinjaman.
  3. Bahagian Khidmat nasihat
  4. Bahagian Pentadbiran.
  5. Bahagian Perusahaan.
  6. Bahagian Pengangkutan - mengelokkan perusahaan pengangkutan.
  7. Bahagian Penyelidikan (research) - untuk mengkaji dan merancang.

YAB. Tun Abdul Razak juga menegaskan bahawa kerajaan telah menyediakan berbagai kemudahan asas seperti jalan raya, hospital, pasar, kemudahan air dan sebagainya dalam rancangan pembangunan negara. Jadi sekarang tibalah masanya kita meningkat ke satu tingkat lagi iaitu menumpukan sepenuh usaha dan tenaga menolong rakyat memperluaskan mata pencarian mereka. Usaha ke arah mempertingkatkan pendapatan dan mempelbagaikan ekonomi kaum bumiputra adalah isu utama dalam pembangunan negara supaya bumiputra tidak tinggal terkebelakang dalam kemajuan yang sedang diraih oleh negara ketika itu.

SELAMAT MEMBACA KEPADA SEMUA. IKHLAS DARI : IBM

SUMBER : ARKIB NEGARA


Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...