PEMBUKAAN LEBUHRAYA TIMUR-BARAT TARIKH PERISTIWA : 30.06.1982 |
Pada hari ini 30.06.1982, setelah 12 tahun lebuhraya timur-barat sepanjang 115 km yang dibina dengan perbelanjaan 395.2 juta ringgit itu kini siap dan dibuka kepada orang ramai. Lebuhraya ini akan memendekkan perjalanan antara Kota Bharu dan Butterworth sebanyak 671 km. Ia mengandungi lima buah jambatan panjang dan menghubungkan pekan Jeli di Hulu Kelantan dengan Pekan Gerik di Perak. Lebuhraya ini akan dibuka pada jam 6.00 pagi ke 7.00 malam setiap hari dan para pengguna pula dikehendaki melaporkan diri ke pondok polis di batu 5, Jeli atau Kuala Rui di Grik selewat-lewatnya jam 4.00 petang sebelum dibenar menggunakan lebuhraya itu. Ini adalah kerana lebuhraya tersebut terletak di kawasan keselamatan. Walaubagaimanapun pengguna tidak perlu bimbang kerana keadaan keselamatan di lebuhraya ini adalah terkawal. Seramai lebih 3 ribu orang tentera dikerah berkawal sepanjang lebuhraya untuk menjaga keselamatan pengguna. Anggota keselamatan tersebut ditempatkan di enam puluh satu buah pos tentera dari Grik ke Jeli dan khemah-khemah mereka adalah tidak lebih dari dua kilometer jaraknya antara satu. Di samping itu, para pengguna lebuhraya adalah diingatkan mengisi minyak dengan secukupnya sebelum memulakan perjalanan memandangkan tidak terdapat sebarang kemudahan untuk membaiki kereta dan mengisi minyak di sepanjang lebuhraya itu. Untuk itu sebanyak dua buah landrover diadakan di Jeli dan Grik bagi membantu pengguna-pengguna yang menghadapi kerosakan kereta dan sebagainya. Sesungguhnya pembinaan lebuhraya ini bukan sahaja dapat menjimatkan masa dan wang tetapi juga akan membawa pembangunan pesat kepada kawasan perkampungan di sepanjang lebuhraya ini di samping membantu pasukan keselamatan dalam usahanya membanteras komunis. |