MENGIMBAU KEMBALI SEJARAH SILAM TANAH AIR KITA. SELAMAT MEMBACA KEPADA PENGEMAR DAN PENGKAJI SEJARAH. - IBM
13 DISEMBER
ALLAHYARHAM SENIMAN AGUNG P. RAMLEE
RUMAH P. RAMLEE DIBUKA DENGAN RASMINYA DI JALAN P. RAMLEE, PULAU PINANG TARIKH PERISTIWA : 13.12.1981 |
Pada hari ini dalam tahun 1981, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan YB. Dato’ Sabbaruddin Chik telah merasmikan Rumah P. Ramlee, di Jalan P. Ramlee (Jalan Counter Hall) Pulau Pinang. Rumah tersebut telah dibina pada tahun 1926 oleh bapa P. Ramlee bersama bapa saudaranya, Rejab Hussain dan telah diperbaiki semasa zaman pendudukan Jepun. Memandangkan rumah tersebut adalah tempat tumpah darah Allahyarham P. Ramlee, maka Jabatan Arkib Negara Malaysia telah mengambil alih dan membaikinya. Projek membaik pulih rumah P. Ramlee merupakan sambungan kepada projek Pustaka Peringatan P. Ramlee dengan dua matlamat penting iaitu memelihara rumah tempat lahir Allahyarham P. Ramlee dan mengenengahkan maklumat mengenai Wira Seni Tanah Air. Rumah tempat kelahiran Allahyarham P. Ramlee tersebut mempunyai sebuah bilik, ruang tamu, serambi dan dapur. Pameran di dalam rumah tersebut meliputi koleksi asal bahan-bahan Allahyarham dan bahagian luar rumah mempamerkan basikal sezaman yang digemari oleh Allahyarham. Sesungguhnya, perasmian rumah P. Ramlee telah menarik minat para pelancong dan menjadi mercu tanda dan kenangan abadi kepada peminat-peminat seni tanah air masa kini dan generasi akan datang.
[SUMBER : ARKIB NEGARA.COM]
|