14 DISEMBER
(GAMBAR HIASAN)
MENGIMBAU KEMBALI SEJARAH SILAM TANAH AIR KITA. SELAMAT MEMBACA SEMUA.
PELANCARAN JAM TANGAN PERTAMA BUATAN MALAYSIA `HIPP’ OLEH PRECIMA SDN. BHD. |
Pada hari ini 14.12.1989, Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Y.B. Datuk Sri Rafidah Aziz telah merasmikan Majlis Pelancaran Jam Tangan Pertama buatan Malaysia di bawah jenama `HIPP’. Perusahaan jam tangan tersebut telah dijalankan oleh Syarikat Precima Sdn. Bhd., iaitu sebuah Syarikat Swiss yang telah terlibat dalam pembuatan komponen jam di negara ini sejak 15 tahun yang lalu. Pengarah Urusan Precima Sdn. Bhd. Mr. Rolf Schnyder memberitahu bahawa koleksi pertama jam tangan tersebut di bawah jenama `HIPP’ diberi tema Tahun Melawat Malaysia 1990, dengan tujuan membantu memperkenalkan Malaysia di kalangan para pelancong. Tambah beliau, terdapat 10 corak permukaan bagi jam-jam tangan Tahun Melawat Malaysia, yang dijual dengan harga runcit di antara RM 70 hingga RM 80, di antaranya ialah gambar bendera Malaysia, Bangunan Sultan Abdul Samad, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan hidupan liar Malaysia. Pada setiap corak permukaan, pihaknya akan menyertakan sama keterangan ringkas mengenai gambar yang tertera. Jam-jam tangan HIPP akan dijual di beberapa lokasi pelancong di Pulau Pinang, Melaka, Pasar Seni, Kuala Lumpur dan kedai-kedai jam. Buat tahun pertama pengeluaran syarikat tersebut dijangka akan mengeluarkan 30,000 hingga 40,000 unit jam tangan bernilai RM 2 juta hingga RM 3 juta, khususnya untuk pasaran pelancong-pelancong. Sesungguhnya dengan pelancaran jam tangan buatan Malaysia yang pertama pada hari ini, diharap akan menjulangkan nama Malaysia di peringkat Antarabangsa dalam bidang sains dan teknologi.
[SUMBER : ARKIB NEGARA.COM]
|