Friday, March 9, 2012

HARI INI DALAM SEJARAH


09 MARCH

SEJARAH WARISAN NEGARA DAN SEJARAH TUNJANG KETERBILANGAN

PERUBAHAN DALAM UNDANG-UNDANG DASAR UMNO MALAYA
Pada hari ini dalam tahun 1960, Rang Undang-undang UMNO Malaya yang disesuaikan dengan kedudukan Tanah Melayu sebagai sebuah negara yang merdeka telah diterbitkan. Rang Undang-undang ini mula dianjurkan oleh Yang di-Pertuan Agong UMNO, Yang Teramat Mulia, Tunku Abdul Rahman. Rang Undang-undang ini digubal oleh Majlis Kerja Tertinggi dan kemudiannya akan dibentangkan dalam perhimpunan Agong UMNO Malaysia yang ke 13 di Kuala Lumpur. Rang Undang-undang dasar ini adalah baharu dalam erti kata yang seluas-luasnya kerana ia membaharui seluruh asas-asas dan tujuan-tujuan UMNO Malaya, termasuklah ikrar untuk memelihara bahasa Melayu. Dengan ini dasar baharu ini disesuaikan untuk memelihara dan mempertahankan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.Di antara lain, tujuannya ialah untuk:-
  • memelihara dan mempertahankan perlembagaan terutama mengenai agama Islam, bahasa dan kebudayaan Melayu, taraf dan kedaulatan raja-raja Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu.
  • mengawal dan memelihara asas-asas pemerintahan demokrasi berparlimen.
  • memelihara dan menggalakkan perasaan muhibah antara warganegara Persekutuan yang berbagai keturunan
  • menjalankan ikhtiar dan langkah untuk kebajikan ahli-ahli dan rakyat Persekutuan Tanah Melayu amnya.
  • menyokong dan mempertahankan piagam pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Perubahan-perubahan ditujukan untuk memperkukuhkan kuasa pimpinan pusat dengan maksud menghindarkan krisis-krisis yang sering berlaku di peringkat-peringkat Negeri dan Bahagian. Dalam Rang Undang-undang baru ini juga telah dipersetujui untuk membentuk sebuah Lembaga Pemecatan Kawasan terdiri dari 5 orang ahli yang dilantik oleh majlis Kerja Tertinggi. Ini ialah untuk menghindarkan dari pemecatan ahli dengan sewenang-wenangnya. Majlis Kerja Tertinggi juga berkuasa 'memilih dan menentukan calon-calon bagi pilihanraya Negeri dan Persekutuan yang dicadangkan oleh persidangan perwakilan bahagian'. Dengan ini, pimpinan pusat dapat memastikan pembahagian kerusi yang lebih adil dan saksama antara pemimpin-pemimpin di tingkat Bahagian dan Cawangan. Dengan terbitnya Rang Undang-undang baru UMNO pada hari ini dalam tahun 1960, maka segala asas-asas dan tujuan-tujuan UMNO Malaya telah turut dibaharui untuk memelihara dan mempertahankan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. 

SUMBER : [ARKIB NEGARA.GOV.MY]
TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA 
Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...