Tuesday, March 13, 2012

HARI INI DALAM SEJARAH

GAMBAR HIASAN

13 MARCH

SEJARAH WARISAN NEGARA DAN SEJARAH TUNJANG KETERBILANGAN

WARTA PERAK DITERBITKAN

Alat media massa seperti radio, televisyen, majalah, akhbar dan sebagainya memainkan peranan penting dalam menyampaikan sebarang maklumat sama ada yang bercorak hiburan, pentadbiran, politik, kebudayaan dan sebagainya untuk makluman orang ramai. Pada hari ini 13.3.1937 sebuah akhbar Melayu tulisan jawi bertajuk Warta Perak telah diterbitkan dengan rasminya oleh Encik Ahmad Noor b. Abdul Shukur sebagai Ketua Pengarang. Akhbar itu diterbitkan di Ipoh, Perak tetapi percetakannya dijalankan di Persama Press, Pulau Pinang kerana di negeri Perak tidak mempunyai kelengkapan cukup untuk menjalankan kerja-kerja percetakan. Akhbar Warta Perak memuatkan rencana-rencana yang bercorak pembaharuan dan boleh menimbulkan semangat orang-orang Melayu ke arah perjuangan kebangsaan, di samping memuatkan rencana-rencana mengenai soal-soal agama dan kehidupan masyarakat desa. Di antara penulis-penulis yang menulis dalam Warta Perak ini iaitu Allahyarham Datuk Ahmad Boestaman yang terkenal dengan halaman Pemudanya, Ahmad Ismail dengan nama samarannya `Ahmady Ismara' dan Allahyarham Abdul Rahman Alyubi dengan nama samaran `Pak Tua'. Selain dari itu guru-guru sekolah dari seluruh tanahair juga turut menyumbangkan berita-berita dan rencana-rencana untuk dimuatkan di dalam akhbar ini. Walaupun akhbar Warta Perak mendapat sambutan yang menggalakkan dari pembaca-pembaca bukan sahaja di negeri Perak malah di seluruh pelusuk tanahair, namun ia tidak dapat bertahan lama atas sebab-sebab kekurangan modal dan menghadapi kesulitan dari segi pengedarannya dan ianya bertahan lebih kurang setahun sahaja.
SUMBER : [ARKIB NEGARA.GOV.MY]
TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA
Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...