Friday, March 16, 2012

HARI INI DALAM SEJARAH


16 MARCH

SEJARAH WARISAN NEGARA DAN SEJARAH TUNJANG KETERBILANGAN

SEKOLAH LATIHAN KEMAHIRAN MARA (VOCATIONAL SCHOOL) YANG PERTAMA DIRASMIKAN

Majlis Amanah Rakyat (MARA) merupakan salah satu agensi yang bertanggungjawab untuk melatih pemuda-pemuda Bumiputera dalam lapangan jurutera dan mekanik. Untuk melahirkan pekerja-pekerja yang mahir di bidang tersebut maka MARA telah menubuhkan sebuah Sekolah Latihan Kemahiran MARA bertempat di Jalan Hang Tuah, Melaka. Sekolah Latihan Kemahiran MARA telah dirasmikan pada hari ini 16.3.1969 oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tun Abdul Razak bin Hussien. Turut serta di majlis tersebut ialah Menteri Tak Berjabatan merangkap Pengerusi MARA Senator Abdul Ghafar Baba dan Ketua Menteri Melaka, Dato’ Haji Talib bin Karim.
Bangunan Sekolah tersebut telah dibina dengan harga RM470,000 dan bermatlamat utama:-
  1. Meninggikan mutu kemahiran dan mempelajari kemahiran-kemahiran baharu dalam lapangan perusahaan dan perdagangan.
  2. Bagi mendapatkan kemahiran yang bermutu tinggi supaya dapat memainkan peranan cergas dan berkesan di dalam bidang perusahaan dan perdagangan sebagai majikan atau pekerja yang berkelayakan

Pemuda-pemuda yang ingin menyertai latihan di sekolah tersebut berusia 18 tahun hingga 23 tahun dan sekurang-kurangnya lulus LCE, MCE dan SC dengan mempunyai kecenderungan dalam jurusan jurutera dan mekanik. Sekolah itu dilengkapi dengan berbagai bilik kejuruteraan dan mekanik untuk melatih penuntut-penuntut dalam teori dan amali. Latihan diadakan selama 2 tahun termasuk satu tahun amali. Semasa ucapan perasmian, Senator Ghafar Baba mengharapkan mereka yang lulus dari sekolah itu, akan dapat membuka perusahaan bengkel  sendiri dan pihak MARA akan membantu mereka. Kerajaan sentiasa mengambil berat akan nasib Bumiputera terutama mereka yang tinggal di luar bandar, maka dengan itu MARA sentiasa mengorak langkah dengan mengadakan pelbagai projek serbaguna untuk pembangunan. Sesungguhnya dengan perasmian sekolah tersebut pada hari ini diharap akan menggalakkan golongan Bumiputera dalam lapangan bengkel setanding dengan kaum-kaum lain di Malaysia.
SUMBER : [ARKIB NEGARA.GOV.MY]
TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA
Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...