SEBUAH AL-QURAN YANG DITULIS DENGAN TANGAN
21 MARCH
AL-QURAN TULISAN TANGAN BERUSIA 380 TAHUN DIJUMPAI |
Kedatangan Islam ke Nusantara ini melalui beberapa cara, antaranya melalui persinggahan para pendakwah dan pedagang-pedagang yang melalui jalan air di sini, melalui pertapakan ulama-ulama yang datang menetap di sini ataupun melalui penyebaran secara besar-besaran agama Islam oleh pendakwah-pendakwah yang datang secara khusus untuk menyebarkan agama Islam. Hubungan dagangan antara timur-barat telah menjadikan rantau Asia Tenggara, khasnya nusantara jalan utama. Pertembungan dua budaya dan disertai pula oleh keadaan ekonomi, politik dan kedudukan pelabuhan-pelabuhan yang strategik telah menyumbangkan lagi kearah memakmurkan kawasan ini. Kedatangan pedagang ini telah membawa bersama mereka agama Islam. Para ulama, pendakwah serta pedagang dari Arab, Parsi, China, India dan sebagainya adalah antara orang-orang yang bertanggungjawab membawa agama Islam ke kawasan ini. Di peringkat awal penyebaran Islam dilakukan oleh ulama dan pendakwah dari luar dan setelah beberapa lama muncul ulama-ulama yang terdiri dari penduduk tempatan. Penulisan buku-buku dan kitab-kitab agama juga mula berkembang pesat yang juga merupakan panduan dan pedoman penduduk tempatan untuk mendalami ilmu-ilmu agama. Terdapat banyak kitab yang ditulis oleh ulama-ulama ini yang tersimpan di beberapa tempat seperti pusat-pusat pengajian tinggi, madrasah, pondok-pondok dan ada juga disimpan oleh kaum keluarga mereka. Kitab-kitab tersebut akan diwarisi oleh kaum keluarga dari satu generasi ke satu generasi seterusnya. Di Pulau Tiga, Parit, Perak dua buah kitab Al-Quran yang berusia dalam lingkungan 150 hingga 380 tahun dijumpai di sebuah rumah penduduk di situ. Kajian oleh Pegawai Kebudayaan, Belia dan Sukan Perak menunjukkan Al-Quran ini ditulis tangan dalam tahun 1603 dan selesai pada 1653. Al-Quran ini dikatakan ditulis oleh 3 orang penulis tempatan. Dua daripada penulis ini tidak diketahui namanya sementara seorang lagi penulisnya dikenali sebagai `Tok Mencalang’. Sementara sebuah lagi Al-Quran dipercayai ditulis oleh seorang pendakwah yang kuat dan gigih bernama Sheikh Hussein Alyamani. Beliau berasal dari negara Arab dan sangat terkenal di daerah ini. Beliau hidup disekitar tahun 1860 dan meninggal dunia sebaik sahaja selesai menulis Quran tersebut. Dengan terjumpanya kitab-kitab ini menjelaskan lagi tentang bukti-bukti mengenai penyebaran agama Islam di Nusantara oleh para pedagang dan tentang penglibatan penduduk tempatan dalam menyebarkan agama Islam keseluruh rantau ini.
SUMBER : [ARKIB NEGARA.GOV.MY]
TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA
|