Friday, November 11, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

{DARI MEJA IBM} :
ASSALAMUALAIKUM, SALAM SEJAHTERA DAN SALAM 1 MALAYSIA


MENGIMBAU KEMBALI SEJARAH SILAM TANAH AIR KITA



11 NOVEMBER 


MAJLIS PELANCARAN HARI KELUARGA KEBANGSAAN YANG PERTAMA (1990)

TARIKH PERISTIWA ; 11.11.1990

Institusi keluarga yang menekankan nilai-nilai moral, akhlak dan kasih sayang merupakan kunci utama bagi mewujudkan keluarga bahagia. Di samping itu, suasana rumah tangga adalah medan pendidikan yang paling berkesan untuk pembangunan sesebuah keluarga. 
Di atas kesedaran Kerajaan untuk mewujudkan Institusi Keluarga bahagia, maka pada hari ini 11 November 1990, Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Dr. Mahathir Mohamad telah merasmikan sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 1990, bertempat di Stadium Bola Sepak, Bandar Tun Razak, Cheras Kuala Lumpur. Majlis ini merupakan sambutan Hari Keluarga Kebangsaan yang pertama kali diadakan di negara ini dan dianjurkan oleh Kementerian Perpaduan Negara dan Kemajuan Masyarakat. Dalam majlis ini Y.A.B. Perdana Menteri telah berbesar hati menyampaikan hadiah-hadiah kepada 5 pemenang Anugerah Keluarga Kebangsaan 1990, yang terpilih daripada 37 keluarga yang dicalonkan oleh pelbagai pertubuhan dan institusi di semua peringkat. Turut diraikan ialah enam pasangan pengantin veteren dan enam pasangan pengantin baru, termasuk 2 pasangan pengantin Orang Asli. Dalam ucapan perasmiannya Perdana Menteri mahukan rakyat Malaysia bersama-sama memastikan kemajuan negara pada masa akan datang tidak membawa kepada keruntuhan institusi keluarga. Kemajuan negara tidak akan bermakna jika dalam masa yang sama mengalami keruntuhan institusi kekeluargaan sebagaimana yang melanda negara-negara maju di Barat. Jelasnya lagi, apa gunanya kemajuan material jika kehidupan harian begitu tidak selamat dan masyarakat muram dan diserang dengan sakit jiwa. Walaupun orang-orang di negara maju kelihatan berseronokan tetapi keseronokan mereka tidak berpunca daripada ketenangan jiwa. Keseronokan mereka dicapai melalui `escapism’ iaitu dengan melarikan diri daripada tekanan jiwa yang mereka alami. Dengan itu, masalah sosial dalam masyarakat menjadi begitu besar malah penyalahgunaan dadah secara meluas di negara-negara Barat di sebabkan keruntuhan institusi keluarga. Sesungguhnya dengan adanya pelancaran Hari Keluarga Kebangsaan pada hari ini diharap akan memberi kesedaran kepada semua masyarakat negara ini tentang betapa penting dan berharganya sesebuah institusi keluarga yang bahagia dan harmoni.

SELAMAT MEMBACA KEPADA SEMUA, MOGA DENGAN MEMBACA MENAMBAHKAN PENGETAHUAN MINDA ANDA DISAMPING ITU DAPAT MENGETAHUI KISAH-KISAH YANG LAMPAU. IKHLAS DARI SAYA YANG BENAR : IBM
SUMBER : [ARKIB NEGARA]
Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...