Friday, March 1, 2013

ANWAR BRAHIM SUDAH TIDAK RELEVAN LAGI? SO, APA TUNGGU LAGI, CABUT LE...

LUAHAN HATI DARI BEKAS ORANG KUAT PAS (WAJIB BACA) :

ISU siapa yang akan menjadi Perdana Menteri bila Pakatan Rakyat ditakdirkan menawan Putrajaya terus dibincang. Nada perbincangan kelihatan semakin hangat dan goyah. Rakyat yang tidak menyokong Pakatan Rakyat pun turut memberi perhatian kepada isu yang masih belum ada penyelesaian yang melibatkan jawatan nombor satu itu. Rata-ratanya rakyat sama ada penyokong Pakatan atau penyokong BN ataupun mereka yang berada di atas pagar dilihat memberi perhatian istimewa kepada isu ini kerana yang terlibat ialah manusia yang namanya Anwar Ibrahim.

Sebut sahaja Anwar Ibrahim berbagai-bagi imej akan terpancar dan hampir semuanya menjurus kepada negatif untuk dirinya, negatif untuk Pakatan dan malapetaka untuk negara. Tiada siapa yang memiliki akal yang siuman dapat menerima seorang Perdana Menteri dengan imej yang berpecah-pecah dan sehingga kini dari dirinya sendiri, dari partinya dan daripada Pakatan sendiri belum kelihatan ada usaha membersihkan arang yang tercalar di sana sini pada muka Anwar Ibrahim.

Kebanyakan kita bersetuju bahawa untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia dengan latar belakang sosio budaya yang beranika dan kekuatan tatasusila masih ampuh dalam kehidupan sebahagian rakyat, maka mana-mana individu yang tidak dapat memenuhi prasyarat-prasyarat ini sudah tentu tidak diberi ruang dan tempat oleh majoriti rakyat negara ini. Rakyat Malaysia boleh memilih dengan menggunakan kriteria masing-masing seorang Perdana Menteri yang benar-benar menjadi kebanggaan bukan sahaja di kalangan Melayu Islam, di kalangan orang Cina orang India dan suku kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Bahkan dengan sistem demokrasi yang diamalkan, siapa sahaja yang mempunyai kelayakan boleh bersama-sama menentukan bakal Perdana Menteri melalui undi yang mereka berikan.

Dalam Konvensyen Pakatan Rakyat kelmarin terdapat usaha untuk menonjolkan Anwar Ibrahim sebagai penyandang jawatan Perdana Menteri. Pimpinan utama DAP dan PKR cuba mengambil kesempatan untuk mendapatkan endorsement untuk mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri. Tetapi atas respons yang seolah-olah kaku daripada perwakilan di tambah pula dengan posisi PAS terhadap isu ini yang sudah diketahui lebih awal maka percubaan “memasarkan” Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri gagal sama sekali. Pada masa yang sama PAS kelihatan tidak terpanggil untuk membincangkan soal tersebut lantaran PAS melalui Majlis Syura Ulama dikatakan telah membuat keputusan tidak bersetuju menamakan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Rasional PAS mudah ditelah. Sebagai sebuah parti Islam sudah tentu Anwar Ibrahim gagal memenuhi prasyarat parti Islam itu untuk melayakkannya menjadi Perdana Menteri. Kalau kita semak ke belakang sejarah melantik Perdana Menteri di peringkat awalnya hampir tidak menghadapi masalah. Tidak ada gelombang, tidak ada ribut dan tidak kelihatan tanda-tanda wujudnya gelora. Apa yang disaksikan hari ini berbeza sekali. Rakyat daripada berbagai- bagai kedudukan dan latar belakang telah mara ke hadapan menyatakan pendirian mereka berhubung dengan siapa yang sepatutnya duduk di kerusi Perdana Menteri seandainya Pakatan menawan Putrajaya.

Tinjauan yang telah dibuat sekian lamanya di seluruh negara menunjukkan bahawa Anwar Ibrahim bukan calonnya. Anwar Ibrahim tidak layak. Anwar Ibrahim akan menimbulkan aib di mata dunia dan pemilihan Anwar Ibrahim akan dilihat sebagai kebaculan rakyat negara ini memilih seorang manusia yang dari segi moral mengamalkan prinsip membujur lalu melintah patah. Dari segi agama pula fahaman pluralisme agama dan Islam liberal kini dipenuhi dengan tanda soal yang beliau sendiri pun tidak mampu menghujah balik kritikan-kritikan yang dilemparkan terhadapnya.

Indikasi penolakan terhadap Anwar Ibrahim menjadi semakin menyeluruh. Ulasan-ulasan, pandangan-pandangan, observasi-observasi dan kajian-kajian yang dibuat oleh para intelektual sama ada yang mewakili NGO-NGO Islam yang terkemuka telah menambahyakinkan rakyat bahawa tidak ada gunanya mana-mana pihak termasuk DAP dan PKR menghabiskan masa memberikan berbagai-bagai alasan untuk terus menjadikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Apapun yang hendak dilakukan rakyat Malaysia khususnya masyarakat Melayu Islam tidak mempunyai apa-apa hujah lagi bila neraca moral dan agama digunakan untuk dijadikan kriteria asas menentukan siapa Perdana Menteri. PAS kelihatan seolah-olah baru sedar bahawa dari lamunan mereka majoriti orang Melayu yang bakal menjadi pengundi mereka menolak Anwar Ibrahim. Seingat saya, sewaktu saya didalam PAS, saya adalah di antara pimpinan Pas yang dari awal-awal lagi mencadangkan supaya Perdana Menteri Malaysia mesti datang daripada jalur kepimpinan PAS. Bahkan saya telah menamakan Presiden PAS Ust Hadi Awang sebagai calon yang paling layak jika dibandingkan dengan Anwar Ibrahim.

Dengan tidak perlu memanjang hujah, letakkan dua gambar insan ini dihadapan kita. Kita yakin secara naluri dan ditambah dengan bisikan dhamir yang cintakan kebenaran, gambar Anwar Ibrahim akan menjadi malap dan terus gelap. Satu perkara yang perlu diberi perhatian supaya rakyat Melayu Islam tidak kelihatan begitu naïve terhadap apa yang berlaku dalam isu Perdana Menteri Pakatan itu. Di satu sudut ada sedikit kelegaan di hati kalangan ahli dan penyokong PAS bila Parti islam itu dilihat menolak Anwar Ibrahim.

Penolakan terhadap Anwar Ibrahim seperti yang disebutkan sebelum ini timbul dengan agak tiba-tiba setelah buat sekian lamanya pimpinan tertinggi PAS menyebut melalui lidah mereka sendiri nama Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Perubahan yang agak drastik seperti ini perlu dilihat dari kaca mata yang lebih berhati-hati. Dikhuatiri keputusan PAS walaupun tidak menyebut Anwar Ibrahim tetapi sehingga ke hari Konvensyen semalam PAS masih tidak menyebutkan siapakah di antara pemimpin PAS yang layak menyandang jawatan itu Saya menjangkakan tindakan PAS tidak menamakan sesiapa adalah merupakan satu taktik untuk meraih semula sokongan ahli, penyokong dan masyarakat Islam terhadap PAS dalam PRU ke 13.

Ditakdirkan semuanya berjalan seperti yang distrategikan, PAS akan mengolah semula keputusan parti mengenai calon Perdana Menteri. Saya tidak terperanjat kalau nama Anwar Ibrahim ditimbulkan semula oleh PAS untuk menjadi Perdana Menteri sebagai salah satu daripada percaturan politik terutama dalam situasi di mana PAS memenangi jumlah kerusi yang paling kecil dalam Pakatan Rakyat tersebut. Saya juga berkeyakinan DAP dan PKR akan terus meremehkan dan memperkecilkan PAS seperti yang telah mereka lakukan sebelum ini. Keputusan pilihanraya yang tidak memihak kepada PAS akan menjadikan Parti Islam itu tidak lebih seperti melukut di tepi gantang sekadar untuk mencukupkan korum sahaja.

Akhirnya, isu mengenai Perdana Menteri Pakatan Rakyat sepatutnya tidak perlu dipanjangkan lagi. Tidak ada logiknya mengulang-ulang hujah yang sama terhadap manusia yang sama yang sebahagian besar daripada rekod kewibawaannya telah diketahui di seantero dunia. Anwar Ibrahim tidak lagi relevan dalam konteks kepimpinan politik negara. Beliau juga tidak relevan dari segi membincangkan isu politik semasa terutama PRU ke 13. Rakyat sudah muak dengan apa yang berlaku dan rakyat juga tidak mampu lagi menanggung aib disebabkan masalah moral yang bertimpa-timpa tanpa berkesudahan. Apa yang berlaku kepada dirinya akan dipalitkan kepada majoriti penduduk negara ini yang terdiri daripada penduduk Melayu Islam.

Rakyat Malaysia sudah dewasa. Rakyat Malaysia sudah matang dan rakyat Malaysia tidak perlu disogok ke telinga mereka setiap waktu dan masa mengenai Anwar Ibrahim. Rakyat Malaysia lebih prihatin dan cenderung untuk melihat gambar yang lebih besar tentang kerukunan dan kesejahteraan hidup bersama ahli keluarga dan masyarakat sekitar. Mereka tidak mahu dan serik dilibatkan dengan cerita-cerita yang memualkan. Inilah masanya rakyat perlu bangkit menolak Pakatan Rakyat. Bukti Pakatan Rakyat tidak boleh bersatu begitu terang dan jelas di hadapan kita terutama dalam konteks siapa bakal menjadi Perdana Menteri.

Kalau isu asas melantik Perdana Menteri tidak selesai, apa isu yang boleh diselesaikan oleh Pakatan Rakyat yang dikatakan akan menjadi peneraju di Putrajaya nanti. Rakyat tidak sepatutnya memperjudikan masa depan negara dengan mengizinkan Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya. Seandainya kita lakukan juga, ertinya kita redha melihat anak bangsa kita menerima bahana daripada ketidakprihatinan kita itu.

DITULIS OLEH : YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
TTDI, KL


P/S ~ IBM tak mahu komen banyak-banyak. Korang fikirlah sendiri. IBM yakin apa yang disuarakan oleh Datuk Dr Hasan Ali bekas pemimpin Pas negeri Selangor itu ada benarnya dan  mempunyai fakta-fakta yang kukuh untuk kita menolak Anwar dan Pakatan Rakyat. RENUNG-RENUNGKAHLAH ~ IBM

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA
Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...